Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Kaamatan martabat warisan, kebudayaan, kesenian Sabah

    PENAMPANG, 31 MEI – Sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dalam usaha kerajaan Sabah untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Sabah akan melaksanakan beberapa program pembangunan komuniti bagi memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.

    Beliau berkata program itu termasuklah meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom, dan memperkasakan Cultural Pit-Stop (CPS) di Tawau, Kota Belud, Sandakan, Tenom, Ranau dan Keningau.

    “Langkah memartabatkan warisan itu penting menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik merupakan aset penting terutama dalam sektor pelancongan yang perlu terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

    “Sebab itu, kerajaan negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing-masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda