Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sempena Pesta Gastronomi Brunei 2025 dan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei ke-41 tahun, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B bersama MKP Jerudong A dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini mengadakan Pesta Makanan Puak Melayu Kedayan bertempat di kawasan Pantai Siandang Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pesta berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.
Turut hadir selaku jemputan khas, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dari Daerah Brunei dan Muara.
Pesta tersebut dipengerusikan oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang. Tujuan pesta makanan itu diadakan adalah untuk melestarikan makanan tradisional dalam kalangan generasi hari ini agar ia tidak hilang ditelan zaman.
Antara makanan tradisi puak Melayu Kedayan yang dijual pada hari tersebut adalah kelupis, dalamu, sumboi-sumboi, lamban, lapat dan sibujang. Manakala masakan yang dijual adalah seperti ayam masak kari, daging masak kunyit dan masak kari.
Hidangan set talam juga dijual bagi yang ingin menikmati hidangan di Pantai Siandang Jerudong bersama keluarga dan rakan dengan harga yang berpatutan.