Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi.
TEMBURONG, 29 Jan – Bagi menjamin perpaduan jiran sekampung supaya kukuh dan tidak mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, memerlukan hubungan etnik yang erat dan stabil kerana hanya dengan hubungan etnik yang erat, kita semua boleh saling mengenali dan saling memahami.
Oleh itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Senukuh tidak kendur-kendur untuk mengendalikan berbagai-bagai acara festival dan permainan pada Pesta Kampung Senukuh yang diadakan buat kali ke-2, bermula hari ini.
Pada tahun ini, pesta diadakan di perkarangan Balai Raya Orang Kaya Sura Haji Tuba, Kampung Senukuh dan telah dilancarkan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud.
Turut hadir ke pesta tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, para penghulu dan ketua-ketua kampung, Pengerusi Biro Badan Pelancongan MPK Senukuh, Haji Metussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dan ahli-ahli MPK Senukuh serta penduduk sekitarnya.
Seawal jam 7 pagi lagi ramai pengunjung yang bukan hanya terdiri daripada penduduk sekitarnya bahkan dari Bandar Seri Begawan turut mengunjungi pesta berkenaan.


“Kami sengaja datang ke sini untuk melihat festival Kampung Senukuh dalam rangka pengisian suasana cuti hujung minggu bersama keluarga,” ujar salah seorang pengunjung pesta.
Menurut pengerusi pesta, Awang Yusof bin Haji Maidin, salah satu pengisian bagi memeriahkan pesta ialah Pertandingan Lagu-lagu Pilihan dan gerai iCook Asia yang turut merakamkan beberapa resipi baru yang khusus berkaitan dengan Mi Senukuh.
Bagi gerai itu, beberapa orang cef didatangkan dari Hotel Antarabangsa Rizqun bagi menunjuk cara pembuatan Mi Senukuh yang diolah sebagai Banana Crispy, resipi baru yang dijangka memasuki pasaran 1P1K dalam waktu terdekat.
Selain itu, turut diadakan adalah Persembahan Tarian Alai Ngapu Lun Rayeh masyarakat Murut Kampung Senukuh, gubahan buah-buahan hutan, uji pandu, cabutan bertuah dan banyak lagi.