Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Bagi sama-sama meraikan kejayaan bakal graduan Politeknik Brunei (PB), Pesta Konvo bersempena Majlis Konvokesyen PB ke-9 telah dilancarkan di Pusat Sehenti Aras 2, PB, hari ini.
Pesta Konvo diadakan bagi menghargai sokongan, bimbingan dan inisiatif daripada Lembaga Pengelola PB, tenaga pengajar dan kakitangan, rakan-rakan industri, dan juga masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan acara tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB.
Sejurus pelancaran, tetamu kehormat dibawa untuk menyaksikan petak-petak pameran dan gerai jualan.
Terdahulu, Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan, Pesta Konvo yang berlangsung sehingga 15 Oktober itu menawarkan pelbagai aktiviti seperti pameran-pameran projek tahun akhir pelajar PB yang terpilih dan Hari Pemasaran Kerjaya (Market Day).
Katanya lagi, “Market Day menampilkan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada graduan-graduan PB.”
Di samping itu, Klinik Penulisan CV dan temu duga juga disediakan serta dikendalikan oleh tenaga pengajar PB sendiri untuk meningkatkan lagi peluang mendapatkan pekerjaan.
Sebanyak 14 buah agensi kerajaan dan swasta turut serta semasa Market Day pada tahun ini dan enam agensi swasta yang menawarkan temu duga terbuka.
Pesta Konvo akan diakhiri dengan Majlis Penghargaan Graduan PB yang bakal diadakan pada 21 Oktober depan di Jerudong Park Amphitheatre.
Majlis penutup akan dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar PB untuk memberikan penghargaan serta meraikan kejayaan yang telah diperolehi.
Majlis Konvoksyen PB akan diadakan pada 19 Oktober depan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.