CAPE TOWN, 28 OKT – Peminat menerbangkan layang-layang dalam pelbagai bentuk dan saiz di sebuah festival di Afrika Selatan kelmarin yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental sambil menyuntik warna-warni di tepi pantai.
Festival Layang-layang Antarabangsa Cape Town sedang meraikan ulang tahun ke-30nya, dengan para peserta dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Tunisia dan lain-lain.
Para peserta terdiri daripada mereka yang berpengalaman namun terdapat kumpulan yang dikenali sebagai pelayang profesional, menurut penganjur, Barbara Meyer kepada kanak-kanak yang berlari-lari di atas pasir dengan layang-layang berkibar di atas mereka.
Reka bentuk layang-layang termasuk ikan yang diinspirasikan oleh ‘Finding Nemo’, naga biru, cicak kuning dan obor-obor hijau yang beralun. Salah seorang peserta yang kreatif membuat layang-layang berbentuk seorang penerjun udara, manakala yang lain membuat layang-layang berbentuk tangan gergasi yang melambai di udara Oktober adalah bulan kesihatan mental di Afrika Selatan. Meyer berkata festival itu merupakan acara penting untuk mengumpul dana bagi Cape Mental Health, sebuah organisasi yang menawarkan kaunseling secara percuma kepada sesiapa yang memerlukannya di kawasan Cape Town.
Beliau menjelaskan bahawa layang-layang mencerminkan moto: “Tidak kira betapa rapuhnya tali itu, seseorang boleh menggunakannya untuk menerbangkan layang-layang yang sebesar rumah.”
Beliau berkata bahawa beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi masa yang sukar bagi ramai orang dengan kesan mental akibat pandemik COVID-19, terutamanya golongan muda.
“COVID membawa pelbagai lapisan kesan kepada orang ramai,” katanya.
“Ramai yang kehilangan ahli keluarga. Isu pengasingan dan sekatan pergerakan memperburuk keadaan. Terdapat juga banyak kehilangan pekerjaan, dan ramai orang datang meminta bantuan.” – AP