Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pesta Makanan Australia kini berlangsung di Supa Save cawangan One Riverside sehingga 5 Mei depan dengan menampilkan pelbagai jenis produk makanan sihat Australia daripada buah-buahan segar, jus organik dan produk bukan tenusu, makanan ringan dan banyak lagi yang khas dibawakan bagi kemudahan penduduk dan rakyat di negara ini untuk mendapatkannya.
Pesta berkenaan turut memperkenalkan beberapa produk makanan terkenal dan berkualiti tinggi yang didatangkan khas daripada Tasmania, Selatan Australia dan pelbagai tempat lain di Australia yang menghasilkan makanan asli dan bermutu tinggi seperti produk tenusu organik, keju kambing, pasta, Yogurts dan jus buah-buahan dan sayuran.
Pengurus Besar Ben Foods (B), K Y Lim ketika ditemui pihak media kelmarin menjelaskan bahawa Supa Save kini menuju ke arah produk yang sihat dan meningkatkan lagi produk organik serta memperkenalkan lebih banyak pilihan kepada orang ramai terutama sekali bagi generasi muda yang gemar makanan sihat.
Sementara itu, pembekal dari Australia, Ina McCorkell pula menyatakan bahawa produk organik kini menjadi trend di pasaran masa kini termasuklah segala buah-buahan dan sayuran segar seperti buah melon, delima, pear dan pelbagai macam epal.
Sepanjang pesta makanan berkenaan, orang ramai turut berpeluang merasakan sendiri beberapa produk makanan Australia seperti susu kambing, keju, makanan ringan dan sos makanan yang dihasilkan di Australia.
Antara produk yang didatangkan khas dari Australia ialah Presafruit, iaitu jus buah yang dihasilkan tanpa menggunakan suhu panas atau menggunakan sebarang bahan kimia bagi memastikan nutrisi yang ada pada jus berkenaan masih ada untuk diambil faedahnya oleh para pelanggan.
Selain itu, salah satu produk yang menarik perhatian ialah Goat Cheese yang mana merupakan keju yang dihasilkan daripada susu kambing dan susu biri-biri di Australia serta mempunyai sijil pengesahan Halal.

