Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Hotel Antarabangsa Rizqun dan Tourism Malaysia menganjurkan Pesta Makanan Malaysia dari 15 hingga 17 November di Rizqun Coffee House.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis perasmian pesta tersebut yang diadakan petang tadi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua misi diplomatik, para pegawai kanan kerajaan Brunei dan golongan pemimpin korporat.
Para tetamu telah dijamu dengan pelbagai masakan asli Malaysia seperti nasi kandar, nasi lemak, nasi dagang, laksa dan nasi kerabu yang disediakan khas oleh cef-cef dari Malaysia.
Demonstrasi masakan yang mempamerkan hidangan tradisional Malaysia char kuey teow dan talam sagu turut menyerikan suasana majlis perasmian itu yang diketuai sendiri oleh Datin Zaeidah Mohamed Esa, isteri bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan.
TYT Datuk Mohd Aini Atan turut menyatakan harapan agar festival itu bukan sahaja memberi tumpuan dalam mempromosikan cita rasa gastronomi Malaysia, tetapi juga untuk menambah nilai kepada kepelbagaian budaya dan memupuk hubungan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara jiran.
Pesta makanan tersebut bertujuan untuk mempromosi dan meningkatkan profil masakan Malaysia kepada masyarakat di Brunei.
Ia juga merupakan sebahagian daripada langkah Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam diplomasi kebudayaan yang merupakan salah satu bidang tumpuan di bawah Rangka Kerja Dasar Luar Malaysia yang menyeluruh.