Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 1 JUN – Pesta Meh 2025 yang berlangsung di Tudong Saji, Kuala Belait pada 29 Mei lalu menyajikan pelbagai jenis hidangan mi sambil mengetengahkan keunikan warisan makanan tempatan.
Festival anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kuala Belait itu menghimpunkan 13 pengusaha makanan yang menampilkan sajian mi dalam pelbagai bentuk dan rasa, selain disertai 23 vendor tempatan yang terdiri daripada usahawan dan perniagaan kecil bagi memeriahkan acara berkenaan.
Majlis perasmian yang diadakan pada malam 30 Mei telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Faiq bin Haji Rani selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, bersama pemangku penghulu serta ketua-ketua kampung dari seluruh Daerah Belait.
Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, berkata festival itu dianjurkan sebagai platform untuk memperkenalkan pelbagai jenis produk berasaskan mi yang terdapat di negara ini.
“Melalui pendekatan ini, pengunjung bukan sahaja dapat mengetahui jenis-jenis hidangan mi, malah berpeluang mencuba pelbagai menu yang ditawarkan oleh peserta,” katanya. Tambah beliau, peluang seperti itu juga dapat dimanfaatkan oleh vendor untuk mempromosikan produk mereka kepada khalayak ramai.
Pesta Meh 2025 akan berlangsung sehingga hari ini, bermula jam 2 petang hingga 10 malam.