Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Pantai Lumut 2024 meriah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 1 SEPT – Majlis Perundingan Lumut dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 1, Perumahan Negara Kampung Lumut 1, 2, dan 3, serta Kampung Sungai Liang telah menganjurkan acara Pesta Pantai Lumut 2024, berlangsung di Pantai Peranginan Lumut sejak 30 Ogos sehingga hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan diikuti dengan acara berbasikal sejauh 15 kilometer yang bermula dan berakhir di Pantai Peranginan Lumut yang turut disertai oleh Yang Berhormat Dato dan peminat basikal di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato juga sempat mengadakan lawatan ke gerai-gerai yang didirikan di tempat itu untuk melihat pelbagai makanan, minuman dan aktiviti yang diadakan pada acara berkenaan seperti permainan Go-Kart, bouncer dan belon air.

    Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman dan Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @Lim Swee Ann; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; penghulu mukim dan ketua kampung dari seluruh Daerah Belait, serta ahli MPK.

    Menurut pengerusi merangkap Ketua Kampung Lumut 2, Haji Khairdon bin Haji Dahlan, beberapa aktiviti menarik telah diadakan termasuk flying fox, aktiviti perkhemahan, persembahan kebudayaan dan tradisi, serta persembahan mukun di sepanjang tiga hari acara tersebut.

    “Pada malam pertama, pelbagai persembahan kebudayaan dan tradisi telah diadakan yang diketuai oleh Puak Dusun, Persatuan Hakka, dan Pertubuhan Silat Warisan Pelangi.

    Manakala persembahan muzik secara langsung dan mukun memenuhi ruang udara pada malam kedua,” tambahnya.

    Antara lain tujuan acara tersebut diadakan ialah untuk membantu memeriahkan lagi suasana kampung dengan pelbagai permainan, aktiviti dan persembahan yang menyeronokkan. Ia juga bertujuan supaya penduduk sekitarnya akan sama-sama dapat meluangkan masa dengan rakan dan keluarga sambil menikmati pemandangan pantai yang menenangkan.

    Selepas selesai acara berbasikal, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin sempat meninjau gerai-gerai yang terdapat pada acara itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    ATAS & BAWAH : Antara aktiviti dan acara yang diadakan semasa Pesta Pantai Lumut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda