Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Orang ramai terutamanya lepasan IGCSE, Peringkat A dan IB yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke luar negara berpeluang mendapatkan maklumat mengenai beberapa institusi di United Kingdom (UK), Malaysia, Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) semasa Pesta Pendidikan Antarabangsa pada 5 Julai depan.
Dianjurkan oleh Agensi Perkhidmatan Pendidikan Findlay, pesta berkenaan akan diadakan di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun dan bakal menampilkan 17 wakil universiti dan kolej.
Institusi-institusi yang menyertai pesta berkenaan adalah Aberystwyth University, University of Birmingham, University of Exeter, Queen’s University Belfast, University of Plymouth, University of Portsmouth, University of South Wales, University of West England Bristol, Curtin University Malaysia, Taylor’s University, University of Reading Malaysia, University of Southampton Malaysia dan James Cook University Singapore.
Turut menyertai pesta berkenaan adalah Kolej Universiti Anglia Ruskin, kolej Navitas bekerjasama dengan 15 universiti di UK, Jerman dan Belanda serta tujuh universiti merentasi Kanada dan AS, dan Oxford International Education Group dengan menawarkan kemasukan laluan ke enam buah universiti UK.
Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin berkata, pesta berkenaan menawarkan peluang keemasan untuk memperkasakan pelajar dalam dunia yang semakin berkembang.

“Belajar di luar negara adalah pengalaman transformatif yang memupuk pertumbuhan peribadi pelajar dan membuka pintu kepada prospek masa depan yang menarik. Selain itu, peserta akan mendapat maklumat yang berharga dan bimbi-ngan untuk membantu membuat keputusan bagi meletakkan asas yang kukuh untuk kerjaya masa depan mereka,” jelasnya.
Untuk pertama kalinya, pengunjung yang datang ke pesta berkenaan akan berpeluang mendengarkan beberapa ceramah yang akan berlangsung pada sebelah petang hari pesta tersebut.
Pegawai dari Majlis Akreditasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Pengurusan Biasiswa di Kementerian Pendidikan dan pusat bagi guru-guru British, turut serta dalam pesta berkenaan untuk sebarang pertanyaan.
Pesta berkenaan turut diserikan dengan perkongsian pengalaman dan input berguna serta bimbingan mengenai belajar di luar negara yang disampaikan oleh ahli Kesatuan Pelajar Brunei di UK dan Eire.