Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Pesta Pengguna kali ke-23 (CF23) anjuran D’Sunlit Sdn Bhd telah membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas di mana ia akan berlangsung selama lima hari hingga akhir Jun ini.
Perasmian pesta tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Hadir sama pada perasmian itu ialah wakil-wakil pihak kerajaan, kedutaan, syarikat korporat dan peserta pameran.
Pesta Pengguna kali ini yang bercirikan watak kartun keluarga Babah, Babu, Boboi dan Alai menampilkan pelbagai jenis produk dari dalam dan luar negara di samping tawaran-tawaran istimewa yang disediakan buat para pengunjung.
Antara tarikan lain pada pesta ini termasuk Pameran Besar-besaran Ulang Tahun ke-35 Hubungan Diplomatik Thailand-Brunei, jualan mainan terbesar dan termurah yang mengetengahkan ribuan jenis mainan untuk semua kanak-kanak.
Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang menyertai sesi ‘Grab All You Can’ selama 15 saat dengan membawa pulang barangan-barangan menarik secara percuma mengikut terma dan syarat.
Bagi para pengunjung yang membawa anak-anak mereka ke pesta tersebut, Kindy Kare International turut menawarkan perkhidmatan untuk penjagaan anak-anak mereka sementara memudahkan mereka berbelanja.
Selain itu, pengunjung yang bertuah juga berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah menarik semasa sesi cabutan bertuah dengan hanya mengisi borang yang disediakan mengikut terma dan syarat.
Bagi menyahut inisiatif Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dalam Kempen ‘Tanpa Plastik Setiap Hari’, pihak penganjur pesta juga mengingatkan orang ramai untuk membawa beg kitar semula masing-masing.

