Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Pengguna ke-28 buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Pesta Pengguna (CF) yang dinanti-nantikan ramai kembali bagi edisi ke-28 dengan majlis pelancarannya yang berlangsung pagi tadi di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

                Hadir menyempurnakan perasmian selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

                Turut sama merasmikan pelancaran CF ke-28 (CF28) ialah ketua-ketua perwakilan negara luar ke Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai diplomat dari Malaysia, Republik Rakyat Bangladesh, Turkiye, Korea, Timor Leste, Perancis, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Republik Rakyat China, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Myanmar.

                Ketua Perhubungan Korporat D’Sunlit, Ting Chui San dalam ucapannya menjelaskan, tema CF28 iaitu New Year, New Me menetapkan nada bagi perjalanan yang memberikan inspirasi dan motivasi, menggalakkan individu memulakan tahun baharu dengan tenaga dan azam baharu.

                CF28 yang akan berlangsung hingga 28 Januari itu disertai lebih 500 peserta yang antaranya terdiri daripada Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd, Oregon System, NBT (B) Sdn Bhd, Cuckoo, Dart Logistic, Izzy Does It, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Kristal FM dan IBIC Sdn Bhd dan banyak lagi.

                Pesta turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik yang dianjurkan oleh rakan-rakan kongsi acara dan sekali lagi, Keluarga CF termasuk Babah, Babu, Boboi dan Alai akan membuat penampilan pada acara berkenaan yang menawarkan promosi serta pelbagai aktiviti buat para pengunjung.

                Aktiviti lebih menarik adalah Cabutan Bertuah Utama Pesta Pengguna yang sentiasa dinanti-nantikan di mana semua orang berpeluang bagi membawa pulang hadiah-hadiah menarik.

                Hadiah utama bagi edisi kali ini ialah Toyota Raize, yang ditaja oleh Toyota Brunei – NBT Brunei Sdn Bhd.

                Orang ramai juga diingatkan dan digalakkan bagi membawa beg boleh diguna semula sendiri bagi semua keperluan membeli-belah.

    Pelancaran CF28 disempurnakan oleh tetamu kehormat.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda