Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Pesta Pengguna (CF) yang dinanti-nantikan ramai bakal kembali bagi edisi ke-29 pada 26 hingga 30 Jun depan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Sehubungan itu, D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur pesta berkenaan telah mengadakan majlis penandatanganan kerjasama bersama rakan-rakan kongsi yang akan turut sama menjayakan acara selama lima hari itu.
Majlis penandatanganan telah berlangsung di Dewan Serba Guna D’Sunlit Sdn Bhd hari ini dan dihadiri oleh wakil-wakil rakan rasmi acara dan rakan kongsi aktiviti. Menandatangani bagi pihak D’Sunlit ialah Pengurus Operasi, Ngu Tiing Siang dan Pengurus Pembangunan Perniagaan D’Sunlit, Gavin Chai.
Rakan-rakan kongsi yang menandatangani kerjasama bagi pesta berkenaan ialah Brunei Press Sdn Bhd selaku media cetak rasmi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku bank rasmi, Oregon Systems selaku penyedia perkhidmatan CCTV, Aewon Garment and Embroidery Sdn Bhd, IBIC Sdn Bhd, Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Mixmedia, Dart Logistics, NBT (B) Sdn Bhd, Kedutaan Besar Republik Indonesia, dan banyak lagi.
Selain aktiviti menarik yang dianjurkan oleh rakan-rakan kongsi acara, CF juga menawarkan promosi buat para pengunjung.
Dengan membawakan tema Back from the Future, pesta jualan berkenaan bakal mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan serta aktiviti menarik daripada 250 peserta pempamer dengan lebih 580 petak jualan.
Untuk memeriahkan lagi acara, CF29 tahun ini juga membawa kembali Babah, Babu, Boboi, dan Alai.
Salah satu acara yang sentiasa dinanti-nantikan ramai adalah Cabutan Bertuah Utama CF yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta Toyota Vios, tajaan Toyota Brunei – NBT Brunei Sdn Bhd, sebagai hadiah utama. Orang ramai juga diingatkan dan digalakkan untuk membawa beg boleh diguna semula sendiri bagi semua keperluan membeli-belah.







