Oleh Yusrin Junaidi & Ak Zaki Kasharan
Setelah dua tahun ditiadakan berikutan penularan wabak COVID, tahun 2023 telah membuka lembaran baharu bagi Pesta Pengguna (CF) yang dinanti-nantikan setiap rakyat dan penduduk di negara ini.
Dengan membawakan tema Celebrating Love pada tahun ini, pusat sehenti yang menawarkan pelbagai produk termasuklah barangan automatif, dapur, kecantikan, perabot, makanan, alat bersenam dan sebagainya telah diadakan selama lima hari bermula pada 11 hingga 15 Januari di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Lebih 400 buah petak pameran menyertai CF yang dianjurkan oleh D’Sunlit Sdn Bhd pada tahun ini, yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan hadiah-hadiah istimewa menanti para pengunjung.
CF merupakan satu acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 2008, memaparkan pelbagai produk serta perkhidmatan dari dalam dan luar negara dan disebabkan penularan wabak, acara tersebut ditiadakan bagi membendung penularannya.
Enam zon serikan CF
Menariknya, dalam setiap penganjuran CF, petak-petak jualan telah dibahagikan mengikut zon-zon tertentu, di mana pada tahun ini sejumlah enam zon yang merangkumi hampir 80 petak jualan setiap zon.



Untuk Zon Unggu, kebanyakan peserta terdiri daripada rakan kongsi CF iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku bank rasmi, imagine Sdn Bhd selaku penyedia perkhidmatan Internet rasmi, Oregon System selaku penyedia perkhidmatan CCTV, Aewon Garment and Embroidery Sdn Bhd, IBIC Sdn Bhd, Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Mixmedia, Dart Logistics, NBT (B) Sdn Bhd, Olive Tree Corporation Sdn Bhd (Pizza Hut) dan Leron Enterprise Sdn Bhd.
Manakala zon lain disertai oleh pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang menggabungkan peniaga-peniaga tempatan, Malaysia dan Singapura yang lebih berkonsepkan tekstil dan pakaian.
Bagi mereka yang ingin menerokai pelbagai hidangan makanan tempatan dan negara jiran, lebih 30 petak jualan juga menyerikan Zon Biru yang menggabungkan makanan-makanan segera yang terkenal.
Tidak ketinggalan Zon Hijau kebanyakannya menampilkan produk-produk pakej makanan sama ada dari dalam mahupun luar negara seperti makanan sejuk beku, kek dan pastri, variasi jenis minuman dan sebagainya. Seterusnya Zon Merah terdiri daripada para peserta yang menawarkan barangan gajet dan lain-lain dan zon kuning pula barangan pakaian dan kecantikan dan Zon Oren produk binatang, kesihatan, kecantikan dan banyak lagi.
Di samping bertujuan untuk memudahkan penduduk tempatan membeli-belah, CF juga mendorong para pengusaha tempatan untuk mengetengahkan produk-produk mereka di samping menjalinkan silaturahim bersama peniaga-peniaga antarabangsa di mana mereka dapat memperkembangkan produk mereka.
Tawaran Rush Hour Deals jadi tumpuan
Selain cabutan bertuah utama CF yang pada kebiasaannya dinanti-nantikan oleh para pengunjung yang memberikan peluang untuk mereka membawa pulang hadiah yang menarik, CF pada tahun ini bertambah meriah dengan tawaran Rush Hour Deals.
Apa tidaknya, ratusan pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata untuk tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan produk-produk yang ditawarkan dengan potongan harga yang sukar untuk didapatkan di mana-mana.
Rush Hour Deals diadakan pada waktu tertentu iaitu pukul 2 petang hingga 4 petang, manakala pada hari Ahad diadakan pukul 7 malam sehingga selesai.
Tinjauan pihak Media Permata semasa acara berkenaan menyaksikan potongan harga semasa promosi tersebut mencecah sehingga hampir 80 peratus daripada harga asal produk berkenaan. Maka tidak hairanlah banyak pengunjung tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Dayang Nurdiyanah binti Rajami turut mengongsikan keterujaannya menghadiri CF pada kali ini.
“Setiap kali CF, kami sekeluarga tidak akan melepaskan peluang untuk datang kerana ia menawarkan pelbagai jenis barangan baharu dan ada yang hanya boleh didapatkan semasa acara ini saja.
“Selain itu bagi barangan yang ada di pasaran tempatan, harga promosi yang ditawarkan semasa CF yang rendah juga menjadi pendorong kami untuk berkunjung ke sini.
“Pada masa yang sama kami juga boleh berbelanja secara bijak dan berjimat cermat dengan hanya membeli barangan yang kami perlukan dan yang menawarkan harga yang berbaloi untuk didapatkan,” jelas Dayang Nurdiyanah.
Beliau turut mengulas mengenai Rush Hour Deals yang ditawarkan pada kali ini yang baginya adalah satu inisiatif yang menarik dan peluang yang tidak harus dilepaskan.
“Pada mulanya kami yang datang bertepatan semasa berlangsungnya Rush Hour Deals tidak menyedari akan tawaran yang disediakan.
Namun setelah melihat ramai pengunjung beratur panjang di salah sebuah petak jualan di sini, kami berasa tertanya-tanya dan terus melihat promosi yang disediakan ketika itu.
“Dengan tawaran harga yang cukup rendah, kami tidak melepaskan peluang untuk menyertai dalam barisan pengunjung yang sedia ada bagi mendapatkan produk yang ditawarkan di sini,” kongsinya.
“Di samping itu saya juga mendapatkan beberapa produk makanan luar negara dengan tawaran yang menarik semasa Rush Hour Deals yang mana jelas sekali dapat menjimatkan perbelanjaan kami memandangkan makanan tersebut merupakan makanan yang sering kami dapatkan sebelum ini,” tambahnya.
Media turut berkesempatan menemu bual seorang lagi pengunjung, Dayang Hafizah Azhari yang turut memuji inisiatif Rush Hour Deals yang diperkenalkan semasa penganjuran acara berkenaan.
“Ia merupakan tawaran yang menarik dan berjaya memikat lebih ramai pengunjung.
“Ia juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan para pelanggan khususnya bagi barangan dan produk yang biasanya digunakan.
“Saya berharap agar tawaran-tawaran seumpama ini dapat diteruskan pada penganjuran CF yang yang akan datang bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana CF,” jelas Dayang Hafizah semasa mengakhiri temu bual bersama penulis.

