Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Percutian Freme bermula

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pesta Percutian Freme ke-14 bermula hari ini dengan menawarkan pelbagai promosi pakej percutian yang menarik untuk pilihan orang ramai yang merancang bagi percutian bersama keluarga sesuai dengan kehendak dan kemampuan masing-masing.

    Pesta selama dua hari yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Berakas yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 7 malam itu merupakan salah satu pesta percutian yang amat dinanti-nantikan di mana orang ramai dari awal pagi lagi telah berkunjung ke pesta berkenaan bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej-pakej percutian yang ditawarkan tetapi juga membuat tempahan awal ke destinasi-destinasi pelancongan pilihan mereka.

    Menurut Pengarah Urusan Freme Travel Services Sdn Bhd, Michael Lee, pesta percutian itu merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh para pelanggan mereka di mana mereka berpeluang untuk merancang percutian mereka mengikut bukan sahaja keperluan tetapi juga kemampuan masing-masing.

    Beliau berkata, di samping tawaran pakej percutian, orang ramai juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dalam acara cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa Suku Juta Royal Skies Miles bernilai kira-kira 10,000.’

    Michael berkata, pesta itu juga dihasratkan untuk menggalakkan lebih ramai orang membuat persiapan atau tempahan cuti mereka lebih awal supaya tidak akan kecewa atau perlu membayar harga yang lebih tinggi jika membuat tempahan saat-saat akhir.

    Katanya, antara destinasi percutian yang terus mendapat sambutan daripada pelanggan di Brunei ialah Singapura, Kuala Lumpur, Bangkok, London dan Jakarta.

    Di samping itu juga, Frame Travel juga menyediakan pakej-pakej percutian ke destinasi popular seperti Jepun, Korea dan China bagi pelancong-pelancong Brunei di mana kesemua keperluan mereka dijaga termasuk memastikan bahawa makanan yang disediakan adalah halal.

    Orang ramai telah berkunjung dari awal pagi lagi untuk mendapatkan pakej percutian mereka pada harga yang menarik.
    Orang ramai telah berkunjung dari awal pagi lagi untuk mendapatkan pakej percutian mereka pada harga yang menarik.

    Sepanjang pesta percutian itu, rakan-rakan syarikat penerbangan iaitu Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Singapore Airlines juga turut menawarkan harga-harga tiket penerbangan istimewa bagi pelanggan yang membuat tempahan di pesta percutian itu serta juga memberikan jaminan bahawa harga-harga yang ditawarkan semasa pesta percutian itu merupakan harga yang terbaik.

    Selain daripada mempromosikan destinasi pelancongan di luar negara, pihaknya tidak ketinggalan mempromosikan destinasi pelancongan di dalam negara termasuk destinasi pelancongan yang terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan iaitu destinasi eko-pelancongan Daerah Temburong.

    Manakala itu, bagi memberikan kemudahan kepada para pelanggan mereka yang tidak kesempatan untuk berkunjung ke Pesta Percutian di Hotel Orchid Garden, Michael Lee berkata bahawa jualan bagi pakej-pakej percutian dengan harga tawaran istimewa itu juga boleh diperoleh dari kesemua cawangan Freme dan akan mula beroperasi pada 30 April.

    Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke Pesta Percutian itu bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej percutian yang ditawarkan tetapi juga untuk bertemu dengan kakitangan Freme bagi mendapatkan serta mengurus pakej percutian yang sesuai bagi mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda