Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Pesta Adau Gayoh Kebangsaan 2024 telah diadakan kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Pesta tersebut dianjurkan untuk memperkenalkan keunikan warisan budaya masyarakat Dusun khususnya kepada generasi muda negara agar tidak pupus ditelan zaman.
Pesta anjuran Jabatan Daerah Tutong dan dikendalikan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Daerah Tutong itu diadakan selama dua hari hingga hari ini.
Majlis pelancarannya telah diadakan kelmarin di mana hadir selaku wakil tetamu-tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan selaku wakil Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, selaku wakil Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhammad Usamah bin Haji Sarbini menjelaskan bahawa Adau Gayoh merupakan perayaan yang penting dan bermakna kepada masyarakat Dusun.



Ia bukan sahaja melambangkan rasa syukur terhadap nikmat-nikmat berupa hasil tanaman padi yang dituai, tetapi juga sebagai satu wadah untuk mengeratkan silaturahim kekeluargaan etnik di peringkat mukim dan kampung, dan meningkatkan nilai kebersamaan dan jati diri bangsa.
Hal berkenaan sekali gus diharap dapat memberikan pendedahan serta pengetahuan kepada golongan muda di negara ini mengenai warisan budaya dalam kehidupan bermasyarakat.
Tambahnya, pesta berkenaan adalah bukti keindahan dan kekayaan warisan budaya, di mana sambutan seperti ini menjadi platform untuk memperkenalkan budaya terutama sekali kepada generasi muda supaya tidak lapuk ditelan zaman.
“Melalui pesta seperti ini juga dapat mempamerkan keunikan tradisi, makanan, muzik, tarian dan pakaian tradisional yang mencerminkan identiti masyarakat Dusun sejajar dengan tema pesta kali ini iaitu Melestarikan Adau Gayoh sebagai Warisan Budaya,” ujar beliau.
Majlis pelancaran telah menyaksikan acara Membuka Dulang Pagar yang disempurnakan oleh kedua-dua wakil tetamu kehormat majlis.
Sambutan turut diwarnai dengan beberapa persembahan pentas antaranya Dodoi Adau Gayoh, acara Menunda Replika Kerbau, acara Bertindik Telinga, dan nyanyian ramai Adau Gayoh.









