Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Seramai 62 pengusaha tempatan dari seluruh negara telah melibatkan diri dalam Pesta Buah-buahan yang diadakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersempena musim buah-buahan, bermula kelmarin hingga hari, ini, bertempat di Pasar Kitani, Pusat Agribisnes Rimba.
Pesta Buah-buahan itu merupakan kali kedua diadakan di Pasar Kitani dengan kali ini membawa tema Lakastah Membali Buah-buahan Kitani.
Pesta tersebut dihasratkan dapat memotivasikan pengusaha untuk meningkatkan hasil tanaman terutama sekali hasil buah-buahan tempatan, mewujudkan platform pasaran dan memudahkan rangkaian pemasaran terutama para peladang, pemborong dan pengusaha makanan.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk memperluaskan pemadanan pasaran produk agrimakanan tempatan, menggalakkan peladang menjadi agripreneur yang berjaya dan progresif, mempromosikan buah-buahan tempatan di samping memberikan kesedaran kepada masyarakat Brunei dan generasi baharu mengenai buah-buahan tempatan dan mempromosikan bibit semaian buah-buahan tempatan bagi tujuan penanaman untuk mengelakkannya daripada pupus.
Di samping itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga membuat aktiviti-aktiviti yang menarik seperti tunjuk cara membuat jeruk rambutan, aktiviti kuiz dan juga pertunjukan reptilia.
Selain daripada jualan buah-buahan, terdapat juga jualan tanaman hiasan dan trak makanan di kawasan perkarangan Pasar Kitani.