BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Bermula hari ini hingga hari terakhir Ramadan, Pusat Membeli-belah Times Square mengadakan Pesta Ramadan tahunannya yang berlangsung di lobi dan atriumnya dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Selain daripada itu, membeli-belah berkenaan juga akan melanjutkan waktu operasinya sehingga tengah malam bermula 19 Jun ini hingga malam Aidilfitri untuk membolehkan pelanggan membuat pembelian saat-saat akhir bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Membeli-belah Times Square.
Menurut kenyataan itu, pelbagai pengusaha menyertai pesta kali ini dengan menawarkan berbagai-bagai produk dan perkhidmatan daripada aksesori, kesihatan dan kecantikan, karpet dan banyak lagi.
Para peserta termasuk Karim Carpet, Imran Iammai, Freezedom, Guardian, Solutech dan Baby’s Diary.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi pesta berkenaan dalam membuat persediaan bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Dalam pada itu, Times Square turut memaklumkan bahawa mereka akan menganjurkan Hujung Minggu Permainan Papan Edisi ke-6 pada 21 hingga 23 Julai.