Monday, September 30, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta sukan tingkat kesihatan, hubungan keluarga

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lebih 600 pelajar dan guru dari empat sekolah di bawah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) menyertai Pesta Sukan Ria di Kompleks Sukan Berakas, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Pesta anjuran Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, selaku tetamu kehormat.

    Acara turut disertai oleh 60 pelajar daripada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) dan dihadiri Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB.

    Sebelum acara bermula, Guru Besar Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan, dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan penghargaan atas penyertaan aktif para pelajar dengan semangat kesukanan yang tinggi, di samping menyokong perkembangan kebolehan mereka dalam sukan dan rekreasi sejak dari peringkat awal.

    Beliau turut menekankan bahawa peluang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masa lapang para pelajar, tetapi turut meningkatkan tahap kesihatan mental dan fizikal mereka.

    “Selain itu, sukan juga dapat mempereratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa, dan keluarga pelajar,” tambahnya.

    Sebanyak 10 acara sukan dan rekreasi dipertandingkan mengikut peringkat kelas, bermula dari kelas Pra 1 hingga Tahun 6.

    Antara aktiviti yang menarik perhatian pelajar ialah Memadamkan Huruf Besar dan Kecil Mengikut Warna, Mencari Kad Gambar Berpandukan Kad Ejaan, Mencari Kad Jawapan Yang Betul, Mengutip Gula-Gula Menggunakan Sudu, dan Memasukkan Gula-Gula ke Dalam Botol.

    Kesemua aktiviti itu menguji kecekapan dan kepantasan pelajar. Bagi kategori VIP, acara yang dipertandingkan termasuk Dart Board Target Game dan Lava Walk, yang turut melibatkan penyertaan para guru besar sekolah.

    Dr Haji Mahali merasmikan sukan ria sekolah berkenaan di Kompleks Sukan Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PGGMB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda