Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Tahun Baru Cina Pitas tarikan baharu Sabah

    PITAS, 5 Feb – Pesta Tahun Baru Cina peringkat daerah Pitas selama tujuh hari dan tujuh malam tanpa henti akan menjadi tarikan pelancongan tahunan baharu Sabah.

    Pengerusi penganjurnya Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata pengiktirafan itu diberikan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melalui surat yang diterimanya semalam.

    “Sejak beberapa tahun lalu, pihak penganjur telah meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah agar pesta ini dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negeri.

    “Acara ini menghimpunkan kebudayaan semua suku kaum di negeri ini pada sambutan Tahun Baharu Cina. Ini satu budaya yang mungkin tidak ada di mana-mana di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada penutupan sambutan itu di sini malam tadi.

    Penutupan pesta tersebut disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama Pengerusi Pesta Tahun Baru Cina, Datuk Seri Ruddy Awah (dua kanan) ketika melancarkan sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung selama tujuh hari dan tujuh malam di sini, malam tadi. – Bernama
    Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama Pengerusi Pesta Tahun Baru Cina, Datuk Seri Ruddy Awah (dua kanan) ketika melancarkan sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung selama tujuh hari dan tujuh malam di sini, malam tadi. – Bernama

    Menurut Ruddy, kunjungan ramai pelancong ke pesta itu, yang juga telah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pesta terpanjang, akan memberi impak baik kepada ekonomi Pitas, sekali gus merapatkan penduduk di daerah itu dengan masyarakat luar daerah.

    Beliau berkata selain persembahan kebudayaan, pesta itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukan, konsert, deklamasi sajak dan aneka gerai oleh peniaga tempatan.

    Presiden Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah Datuk Abdul Tani Lo Shen Foh berkata acara itu yang dinanti-nantikan penduduk Pitas sejak lebih 30 tahun lalu, wajar diiktiraf sebagai satu daripada tarikan pelancongan negeri.

    Presiden Persatuan Sino Kadazandusun Murut Bahagian Pitas Ng Lai Thau berkata penganjuran pesta itu oleh Pejabat Daerah Pitas memenuhi semangat perpaduan semua kaum, malah anggota jawatankuasa penganjuran dari kalangan kaum Cina hanya 15 peratus. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda