NEW DELHI, 10 MAC – Seorang pegawai tertinggi pilihan raya India telah meletak jawatan secara mengejut menjelang pilihan raya parlimen negara itu yang dijadualkan sebelum Mei.
Peletakan jawatan pesuruhjaya pilihan raya, Arun Goel kelmarin meninggalkan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan hanya Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Rajiv Kumar.
Punca peletakan jawatan Goel masih tidak diketahui.
Goel menjadi pesuruhjaya pilihan raya pada November 2022 dan tidak sepatutnya bersara sebelum Disember 2027.
Panel pilihan raya biasanya mempunyai tiga ahli dan membuat keputusan dengan undi majoriti.
Seorang lagi pesuruhjaya pilihan raya, Anup Chandra Pandey bersara pada usia 65 tahun pada Februari, mewujudkan kekosongan dalam suruhanjaya itu.
Ahli suruhanjaya pilihan raya dilantik oleh presiden atas syor jawatankuasa tiga orang yang terdiri daripada perdana menteri, seorang menteri persekutuan dan ketua pembangkang di dewan rakyat.
Dengan lebih 960 juta pengundi, pilihan raya parlimen di India melibatkan penempatan berjuta-juta anggota polis, pegawai keselamatan dan kakitangan awam. – Bernama
