Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Projek Sungkai Ramadan 2025 iaitu pengagihan makanan iftar yang dilaksanakan oleh Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah mendapat perhatian daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Micheal Hoy dengan membuat kunjungan ke Pejabat MKM di Flat Anggerek Desa hari ini.
Kunjungan TYT Micheal Hoy adalah bagi membantu kerja-kerja penyediaan makanan iftar untuk diagih-agihkan kepada 500 klien MKM di Daerah Brunei dan Muara. TYT Micheal Hoy juga akan menyertai para sukarelawan membuat pengagihan makanan iftar ke beberapa buah rumah klien MKM.
MKM sangat berbesar hati di atas kunjungan serta khidmat kerja amal yang dibuat oleh TYT Micheal Hoy itu.
Ia menandakan bahawa kerja-kerja amal yang dilaksanakan oleh MKM dalam membantu golongan susah di negara ini turut mendapat perhatian dari pelbagai pihak, termasuk perwakilan asing ke negara ini.
Lebih 800 klien MKM menerima agihan makanan iftar bagi Projek Sungkai Ramadan 2025 yang merangkumi klien-klien MKM dari Daerah Brunei Muara, Temburong, Tutong dan Belait bagi tempoh selama 15 hari yang bermula sejak 3 hingga 17 Mac.
Selain itu, MKM juga melaksanakan Projek Sungkai Ramadan dengan menyasarkan 1,000 orang pelarian Rohingya serta para pelajar di sekolah-sekolah MKM di Bangladesh.