Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona baru-baru ini melawat Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Saujana (SMSIS) untuk menyertai sesi interaksi dengan pelajar dan melakar peristiwa penting dalam menjalin hubungan di antara Bangladesh dan Brunei Darussalam dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Kedatangan PYT Shumona disambut oleh pengetua sekolah, Chong Wee Meng bersama dengan majlis pelajar sekolah tersebut. Beliau mengambil bahagian dalam sesi interaksi bersama pelajar, membaca dua buah buku semasa sesi tersebut.
Buku pertama berjudul Mujib, merupakan novel grafik yang menggambarkan kehidupan Bapa Bangladesh, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman sementara buku kedua adalah buku bertajuk The White Elephant, kisah dongeng dari Asia Tenggara mengenai rasa belas kasihan dan empati.
PYT Shumona juga menyumbangkan koleksi buku kepada perpustakaan sekolah sebelum mengakhiri lawatan dengan mengunjungi premis sekolah.