Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesuruhjaya Tinggi British berada di Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam mengumumkan ketibaan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Ken O’Flaherty pada Ogos tahun ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, Tuan O’Flaherty membawa bersamanya pengalaman perkhidmatan diplomatik hampir tiga dekad, di mana beliau telah mewakili United Kingdom dalam tugasan utama di Eropah dan Asia.

    Terbaharu, beliau berkhidmat sebagai Charge d’Affaires ad interim ke Myanmar dan sebelum itu, sebagai Duta Serantau COP26 bagi Indo-Pasifik dan Negara-negara Membangun Kepulauan Kecil, di mana beliau memainkan peranan penting dalam memajukan tindakan iklim global.

    Walaupun Tuan O’Flaherty memegang peranan itu dalam jangka pendek tetapi beliau berharap akan dapat mewakili Baginda Raja dan Kerajaan UK di Negara Brunei Darussalam dengan kuasa dan tanggungjawab penuh sebagai Ketua Perwakilan.

    Pelantikan beliau menekankan komitmen berterusan UK untuk mengukuhkan hubungan yang mendalam dan bersejarah antara United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau pertama kali melawat Negara Brunei Darussalam pada 2022 untuk mempengerusikan bersama acara Dialog Perubahan Iklim UK-Brunei yang julung kali diadakan.

    Semasa lawatan itu, beliau melahirkan rasa kagum terhadap warisan semula jadi Brunei yang kaya termasuk lawatan yang tidak dapat dilupakan ke Taman Botani UBD dan hutan hujan asli Temburong.

    Penghargaannya terhadap kepimpinan alam sekitar dan biodiversiti Brunei terus memberi inspirasi kepada komitmennya terhadap kerjasama UK-Brunei mengenai iklim dan kemampanan.

    Sepanjang kerjayanya, Tuan O’Flaherty telah memegang beberapa peranan diplomatik kanan termasuk Timbalan Ketua Misi di Rom, Pengarah Kemakmuran di Tokyo dan Ketua Jabatan untuk Iran dan Iraq di Pejabat Pembangunan, Komanwel & Luar Negeri di London.

    Pengalamannya yang luas merangkumi dasar luar negeri, perdagangan, keselamatan dan penglibatan pelbagai hala.

    Suruhanjaya Tinggi British mengalu-alukan Tuan O’Flaherty dan berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama UK-Brunei merentasi pelbagai keutamaan bersama.

    Tuan Ken O’Flaherty tiba di Negara Brunei Darussalam pada Ogos tahun ini. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda