Oleh Daniel Lim
BELAIT, 11 OKT – Bagi mengukuhkan lagi hubungan dan bertemu komuniti di Daerah Belait, Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar telah mengadakan lawatan kerja ke Kumpulan Syarikat Serikandi, baru-baru ini.
Hadir mengalu-alukan Tuan Yang Terutama yang turut disertai oleh Kaunselor Ravi Chandar, ialah Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad bersama Pengarah, Hajah Latifah binti Ambran, Ketua Pegawai Eksekutif, Revi Bhaskaran serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Serikandi.
Semasa lawatan itu, Tuan Yang Terutama juga mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan rakyat India yang bekerja dengan Serikandi terutamanya sebagai jurutera, pereka, jurutera dan eksekutif-eksekutif pengurusan, di mana beliau menggalakkan mereka untuk menyumbangkan yang terbaik bukan sahaja bagi pertumbuhan syarikat malah kemajuan am Brunei dalam kepakaran masing-masing.
Tuan Yang Terutama juga telah melawat Kafe dan Restoran Serikandi di Kuala Belait dan Rumah Kejuruteraan, Serikandi Oilfield Service yang terletak di Pusat Membeli-Belah KB Sentral di mana beliau ditunjukkan gambaran menyeluruh tentang proses kejuruteraan rekaan dan sokongan yang diberikan kepada industri minyak dan gas di negara ini.