Oleh Daniel Lim
BELAIT, 14 OKT – Pesuruhjaya Tinggi India yang dilantik ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Shri Ramu Abbagani dan isteri beliau, Pushpa Abbagani, telah mengadakan lawatan ke Daerah Belait, kelmarin.
Hadir mengalu-alukan TYT Shri Ramu Abbagani dan isteri pada majlis yang diadakan di Kafe Kenyalang, Kelab Panaga itu ialah Presiden Persatuan Telugu, Venkata Ramana Rao Suryadevara termasuk 70 ahli komuniti Telugu di Negara Brunei Darussalam.
Majlis itu diserikan dengan penyerahan sejambak bunga kepada Pushpa Abbagani dan replika kenang-kenangan kepada TYT Shri Ramu Abbagani, yang kedua-duanya disempurnakan oleh kanak-kanak komuniti Telugu.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan satu tayangan video yang menampilkan sejarah, pencapaian dan aktiviti komuniti Persatuan Telugu sejak penubuhannya, diikuti dengan video profil ringkas TYT Ramu Abbagani, bertujuan untuk memupuk persefahaman dan ikatan silaturahim antara komuniti dan Suruhanjaya Tinggi India.
Dalam ucapannya, TYT Shri Ramu Abbagani menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan persatuan itu dan usaha berterusannya untuk memperkukuh dan memartabatkan komuniti Telugu di Brunei.
Beliau juga menzahirkan rasa gembira bertemu ahli komuniti tersebut, menghargai semangat dan usaha mereka dalam mewujudkan Brunei sebagai tempat yang selesa untuk mereka tinggal dan mengekalkan tradisi India di negara ini.
Selain itu, ahli keluarga komuniti Telugu juga berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan TYT Shri Ramu Abbagani dan Pushpa Abbagani, sekali gus berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.
Majlis diakhiri dengan jamuan terdiri daripada masakan tradisional India dan Telugu yang menyemarakkan lagi suasana acara berkenaan.






