Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani secara berasingan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pengarah Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Salina binti Salleh.
Kunjungan hormat kepada Pemerintah ABDB berlangsung pada 26 Disember lalu, di mana kedua-duanya melahirkan rasa puas hati terhadap hubungan pertahanan antara kedua-dua buah negara dan menyatakan keazaman mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan di kawasan-kawasan, yang saling menguntungkan kedua-dua negara.
Sementara itu, pada kunjungan hormat kepada Pengarah Pelancongan, kelmarin, isu-isu berkaitan perjalanan dan pelancongan antara kedua-dua negara telah dibincangkan.
Kedua-duanya menyatakan keazaman mereka untuk terus mempromosikan perjalanan dan pelancongan antara kedua-dua negara sahabat itu.