Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peta Jalan Industri Pelancongan sedang dirangka

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Penglibatan belia setempat begitu penting dalam memainkan peranan mengembangkan dan memajukan ekopelancongan di Daerah Temburong selaras dengan hasrat seluruh penduduk di daerah berkenaan yang ingin menjadikan daerah di mana mereka dilahirkan itu sebagai ekopelancongan Temburong Permata Hijau.

    Dalam merealisasikan hasrat berkenaan, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir mewakili warga penduduk Daerah Temburong menekankan baiknya jika anak-anak muda didedahkan dengan aktiviti-aktiviti tertentu seperti bird-watching, ubat-ubatan herba tradisional, memperindahkan tempat riadah, memartabatkan kulinari tradisional, tarian asli dan sebagainya.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyambut baik cadangan tersebut dengan mengongsikan lanjut bahawa pada masa ini pihak Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan sedang merangka Peta Jalan Industri Pelancongan.

    “Pelan berkenaan berkisar inisiatif-inisiatif berhubung ekopelancongan; warisan dan budaya; dan pengembaraan hala tuju industri pelancongan di negara ini. Insya-Allah, peta jalan ini akan siap pada waktu terdekat ini,” ujar beliau semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, petang tadi.

    Selaras dengan perancangan dan program untuk memajukan industri pelancongan di keempat-empat daerah dan tidak terkecuali khusus Daerah Temburong, tambah beliau, Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Autoriti Kemajuan Daerah Temburong, Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang mengembang majukan industri pelancongan di daerah tersebut.

    Dalam pada itu, ujarnya lagi, pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan turut menyediakan pangkalan data yang komprehensif bagi produk-produk pelancongan di peringkat kampung dan mukim di keempat-empat daerah termasuklah aktiviti-aktiviti yang dicadangkan berkenaan bagi sama-sama menyediakan pakej-pakej pelancongan yang lebih menarik untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

    Yang Berhormat Haji Sulaiman semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda