Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petanda tumor otak, dapatkan rawatan segera

    TUMOR otak adalah merujuk kepada jisim atau pertumbuhan sel-sel yang tidak normal di dalam otak di mana ia juga boleh terzahir melalui beberapa petanda tertentu yang boleh dirasai pada setiap hari seperti rasa sakit kepala atau murung.

    Sebarang pertumbuhan di dalam otak tertutup oleh tengkorak yang sangat tegar boleh menyebabkan tekanan meningkat sekali gus boleh menyebabkan kerosakan otak dan mengancam nyawa.

    Reader’s Digest telah menyenaraikan beberapa petanda atau simptom yang dialami oleh seseorang individu di mana dia berkemungkinan mengalami masalah tumor otak dan harus mengatur pertemuan bagi mendapatkan pemeriksaan daripada pakar perubatan.

    Kerap sakit kepala

    Dr. Mike Chen dari Jabatan Pembedahan di Pusat Perubatan Kebangsaan City of Hope California, menjelaskan bahawa seseorang yang mengalami masalah sakit kepala secara kerap dan berlarutan tanpa ada sebarang petanda ia bakal berhenti maka harus segera mendapatkan rawatan.

    “Sakit kepala yang kelihatan cukup teruk di mana ia muncul sedari bangun pagi dan berlarutan dalam tempoh masa yang lama mungkin memberi petanda kepada tumor otak,” jelas Chen. Walaupun jenis sakit kepala tertentu yang boleh memberi petunjuk sebenar kepada tumor otak namun adalah dinasihatkan agar individu yang mengalaminya itu untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

    Penglihatan terganggu

    Merasakan gangguan pada penglihatan secara kerap juga mungkin antara petanda seseorang itu mengalami masalah tumor di bahagian otak.

    “Gejala gangguan yang kerap berlaku pada penglihatan itu dikenali sebagai bitemporal hemianopsia. Tumor yang terdapat di bahagian otak secara tidak langsung turut menyekat laluan visual sehingga menyebabkan terjadinya gangguan,” jelas Dr. Christopher Carrubba dari Med School Tutors.

    Lemah dan lesu

    Sekiranya terdapat tumor pada bahagian korteks motor otak yang mengawal pergerakan otot dalam badan maka secara tidak langsung turut tidak berdaya dalam memperlihatkan isyarat sehingga membuatkan seseorang individu itu tampil lemah dan lesu.

    “Seseorang yang memiliki tumor di bahagian otak mungkin tidak akan merasa sakit di anggota badannya yang lain namun kaki atau tangannya mungkin tidak bergerak sebagaimana yang diinginkan. Namun kaki yang lemah juga berkemungkinan berpunca daripada kekurangan vitamin D,” jelas Dr. Chen.

    Keupayaan bertutur terjejas

    Dr. Carruba turut menjelaskan bahawa dua bahagian yang mengawal aspek pertuturan di otak telah menyebabkan kesukaran pada seseorang individu untuk memahami konsep dan turut menghalang pergerakan otot yang berperanan dalam menghasilkan bunyi ketika bertutur.

    Kehilangan daya pendengaran

    Memandangkan keupayaan dalam pengujaran bahasa telah terganggu, ia juga secara tidak langsung turut membataskan keupayaan untuk mendengar.

    “Sekiranya anda mengalami masalah kehilangan pendengaran secara mendadak atau nada bunyi yang anda dengar kedengaran bergetar di mana ia dikenali sebagai tinnitus maka anda harus segera mengatur masa bagi mengadakan perjanjian dengan doktor yang boleh melakukan pemeriksaan di bahagian telinga. Jika doktor itu mengesyaki sebarang perkara yang mencurigakan maka dia juga dengan mudah untuk merujuk permasalahan itu kepada pakar neurologi,” Dr. Carruba.

    Depresi

    Mengalami pelbagai masalah seperti dari segi pertuturan dan pendengaran maka ia secara tidak langsung turut menyebabkan seseorang itu depresi, mudah marah dan dibelenggu oleh rasa bimbang, kata Dr. Sumeet Vadera, seorang ahli bedah saraf di Universiti California, Irvine.

    Malah, Dr. Chen turut menjelaskan bahawa tumbesaran tumor itu juga secara tidak langsung mengubah keperibadian dan personaliti seseorang individu itu. – Agensi

    Kerap merasakan sakit kepala secara keterlaluan mungkin antara petanda seseorang mengalami tumor otak dan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan doktor dengan segera.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda