Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petani aprikot bimbang perubahan iklim jejas penuaian

    ISFARA, TAJIKISTAN – Petani aprikot Tajikistan, Uktam Kuziev bimbang tentang masa depan sekarang kerana perubahan iklim mengancam penuaian dan hasil keluaran buah-buahan penting Asia Tengah.

    Ia adalah salah satu rantau yang paling terdedah di dunia kepada kesan perubahan iklim dan komuniti perladangan luar bandar yang miskin mudah terdedah kepada risiko tersebut.

    Kuziev adalah salah seorang daripada lebih 100,000 orang yang bekerja dalam industri aprikot Tajikistan, pekerjaan bersejarah merentasi pergunungan dan lembah di utara negara itu.

    Kira-kira 10 peratus daripada semua kebun di dunia terletak di sini, menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Tetapi musim sejuk yang sederhana, glasier cair, fros lewat dan kekurangan air semuanya menimbulkan cabaran kepada penanaman di ibu negeri aprikot Tajikistan, Isfara.

    Wanita bekerja di kebun aprikot di bandar Isfara, utara Tajikistan. – AFP
    Pokok aprikot kelihatan di kebun petani Uktam Kuziev di bandar Isfara. – AFP
    Seorang wanita menjual aprikot di pasar. – AFP
    Gambar menunjukkan aprikot kering diproses di sebuah kilang di bandar Isfara. – AFP
    Pekerja syarikat Isfara Food, pengeluar buah kering, memproses aprikot kering di kilang di Isfara. – AFP

    “Tahun lalu, beberapa tanah bertukar seperti padang pasir disebabkan kekurangan air dan tanah merekah sehingga pecah,” kata Kuziev kepada AFP.

    “Pokok aprikot kering kerana tidak disiram,” kata petani berusia 72 tahun itu, berdiri di hadapan pokok aprikot bergoyang-goyang ditiup angin.

    Buah itu ‘mudah terdedah’ kepada perubahan iklim, menurut Bank Dunia, disebabkan oleh ‘suhu yang meningkat, corak kerpasan yang berubah dan peningkatan kekerapan kejadian cuaca ekstrem.’

    KEKURANGAN AIR

    Di pasar jalanan di Isfara, penjual menjual aprikot segar dalam baldi di sebelah timbunan ceri merah berkilauan, manakala di tepi jalan, buah-buahan kering dijual daripada beg pasir gergasi.

    Tajikistan mengklasifikasikan buah itu sebagai ‘produk strategik’ dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB.

    “Penanaman aprikot di utara Tajikistan adalah amat penting dari segi ekonomi dan sosial… Ia mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk,” beritahu Muminjon Makhmajonov, timbalan pengarah firma Isfara Food, pengeluar buah-buahan kering utama, kepada AFP.

    Buah jingga berbulu itu begitu penting kepada ekonomi tempatan sehingga sebuah monumen gergasi buah tersebut telah didirikan di tengah-tengah bandar Isfara.

    Tetapi kekurangan air kronik dan paras air yang menyusut di sungai Isfara – dikongsi oleh Tajikistan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan – menjejas kedua-dua industri dan cara hidup penduduk.

    “Kesan perubahan iklim dan pencairan glasier sudah pun dirasai semua orang. Pada musim bunga, paras air di sungai Isfara adalah rendah,” beritahu Bakhtior Jalilov, ketua pakar pertanian di bandar itu, kepada AFP.

    Berdepan kekurangan air setiap musim bunga, Kuziev sebelum ini telah mengorbankan tanaman gandum untuk ‘menyelamatkan keperluan penting iaitu pokok aprikot.’

    Kekurangan air bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh petani.

    Bukan itu sahaja, serangan hujan lebat yang turun juga menjadi isu, menyebabkan buah tumbuh dengan duri atau bintik pada kulitnya, yang mengurangkan nilai pasarannya.

    FROS

    “Kami sedih apabila hujan lebat kerana ia merosakkan produk,” kata Muborak Isoeva, 61, yang menjual aprikot di kampung jiran Kulkand.

    Perubahan suhu yang drastik menimbulkan masalah lain.

    Kemusnahan hasil tuaian aprikot Turkiye pada 2025 akibat cuaca sejuk telah membimbangkan petani Tajikistan.

    “Apabila suhu meningkat atau turun secara mendadak, walaupun untuk satu atau dua hari, awda tidak akan mendapat hasil yang awda inginkan,” kata Makhmajonov.

    Dia membeli bekalan di pasar sekitar Isfara, tempat petani kecil-kecilan menjual aprikot yang ditanam di kebun mereka untuk memperoleh pendapatan.

    Sedangkan sebelum ini penduduk tempatan tidak mempunyai idea tentang konsep fros lewat, ‘dalam tempoh 20 tahun yang lalu, pokok-pokok telah membeku lebih lima atau enam kali semasa atau selepas berkembang mekar,’ kata pakar bandar Jalilov.

    PENYESUAIAN

    Pengeluar dan pentadbiran tempatan telah berusaha menyesuaikan diri.

    Kebun-kebun sedang ditanam dengan lebih intensif, manakala kira-kira 1,500 hektar tanah di plot tanah yang mengeluarkan hasil keluaran rendah telah dibangunkan semula sejak lima tahun lepas.

    Ada petani yang beralih kepada penanaman plum, lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

    “Tidak seperti aprikot, plum berkembang lebih lambat dan dapat menahan cuaca panas dan sejuk dengan lebih baik… jadi apabila tuaian aprikot lemah, kami masih boleh mengeksport prun,” kata Makhmajonov dari Isfara Food.

    Beliau telah memasang sistem pengairan titisan yang cekap air untuk menanam buah ungu manis itu.

    Namun bukan semua orang mempunyai pilihan itu.

    Bayaran air dinaikkan 150 peratus tahun lepas. Ia sesuatu yang dikatakan oleh Tajikistan adalah perlu untuk menambah baik infrastruktur dan mengimbangi penggunaan dari sungai di seluruh tiga negara berkenaan.

    Dengan purata gaji negara hanya AS$260 sebulan, penyesuaian adalah mahal dan kompleks untuk petani keluarga, yang selama beberapa dekad bergantung pada buah untuk meningkatkan pendapatan mereka.

    “Tidak kira taraf hidup atau status sosial mereka, jika mereka memerlukan wang, mere-ka boleh pergi dan menjualnya di pasaran,” kata Makhmajonov.

    Perubahan iklim kini menjadikan jaring keselamatan itu kelihatan semakin rapuh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda