Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Golongan belia khususnya yang menceburi bidang pertanian terus diberikan sokongan dan bimbingan bagi menjadi usahawan pertanian berjaya pada masa hadapan.
Sehubungan itu, tujuh belia yang berjaya menamatkan Projek Agriprenur Belia, projek usahawan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), telah menerima sijil dalam majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus ialah Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Awang Abuzar bin Haji Mohd Tahir.
Melalui projek tersebut, belia-belia berkenaan telah berjaya menjalani sesi latihan asas pengurusan kewangan dan pengurusan asas tanaman yang disampaikan oleh pakar-pakar dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta BIBD.
Salah seorang peserta, Awang Khairul Anuar Sham bin Mohd Khir menyatakan kursus itu banyak memberikannya pengetahuan mengenai pentingnya pengurusan kewangan yang tepat dan teratur terutamanya dalam merancang perbelanjaan bagi mengusahakan ladang.
Beliau yakin melalui latihan asas berkenaan, ia dapat membantunya untuk mendalami lagi minat dalam bidang pertanian sebagai usahawan pertanian belia yang berjaya pada masa akan datang.

Walaupun masih baharu dalam bidang pertanian, Awang Khairul Anuar Sham menyatakan pengalaman mengurus ladang ayahnya telah melahirkan minat yang mendalam baginya untuk terus menceburi bidang tersebut.
Oleh itu, beliau menyatakan akan terus tekun berusaha memajukan perusahaannya dan berharap pada masa akan datang menjadi sebagai pembekal pertanian unggul di negara ini.
Program Agriprenur Belia berkenaan telah berjalan selama dua hari di mana tumpuan utama latihan ialah untuk memperkenalkan peserta projek dengan kemahiran memulakan perusahaan tanaman sayur-sayuran termasuk teknik penanaman, pembajaan, pengawalan penyakit, pentadbiran dan pengurusan kewangan perniagaan yang menguntungkan.
Program latihan akan diteruskan lagi dengan latihan amali dan pendedahan melalui program penempatan ke ladang-ladang tanaman yang ditonjolkan sebagai contoh terbaik kepada peserta projek.
Penglibatan BIBD sebagai institusi kewangan yang membantu menyediakan modal permulaan, memberikan suntikan semangat dan keyakinan kepada para belia untuk memulakan perladangan yang diminati mereka.
Bantuan seperti itu adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh para belia yang ingin memulakan kerjaya sebagai pengusaha pertanian.
Dengan adanya projek usaha sama KSSUP dan BIBD itu, cabaran untuk mendapatkan modal perusahaan yang sering dihadapi oleh para belia tidak lagi menjadi penghalang utama dalam inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian sebagai kerjaya yang menguntungkan serta turut menjadi penyumbang ke arah peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian.

