INDIA, 26 APRIL – Seorang petani di wilayah Benggala Barat, India sedang berusaha membangunkan sebuah rumah yang menyerupai kapal terkenal, RMS Titanic yang karam selepas berlanggar dengan aisberg.
Menurut laporan Oddity Central, Mintu Roy, seorang lelaki dari daerah Darjeeling, Benggala, mengimpikan untuk tinggal di rumah yang mempunyai reka bentuk seperti Titanic sejak kecil.
Semasa perayaan Durga Puja, dia sangat tertarik dengan pandal yang mempunyai bentuk Titanic – struktur sementara yang dibangunkan untuk meraikan acara keagamaan Hindu – sehinggakan suatu hari dia memutuskan untuk membina rumah yang menyerupai kapal ikonik tersebut.
“Sebahagian besar kehidupan kanak-kanak saya dihabiskan di Kolkata, sekitar kawasan Bowbazar,” Mintu Roy memberitahu wartawan yang berkunjung ke rumahnya.
Selepas berpindah ke beberapa buah kawasan di India dalam usaha mencari pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik, Roy akhirnya menetap di Benggala Barat dan memulakan rancangannya untuk membina rumah impiannya.
Namun, ketika itu dia berhadapan dengan masalah kerana kebanyakan jurutera pembinaan kurang percaya dengan visinya dan sebahagiannya menginginkan bayaran yang lebih tinggi.
Akhirnya, dia memutuskan untuk mereka dan membina sendiri rumah tersebut.
“Ini adalah impian suami saya. Jadi saya dan anak-anak mahu membantu merealisasikannya,” kata isteri Mintu Roy, Kiran.
“Ia membuatkan kami gembira apabila orang ramai dari jauh berkunjung ke kawasan kejiranan kami untuk mengambil gambar rumah kami,” tambahnya. – Agensi