NAIROBI – Petani Kenya, Geoffrey Koech, menatap ladang jagung sepuluh ekarnya sebelum proses penuaian dijalankan. Dia menatapnya dengan penuh kekesalan dan kebingungan, menyedari bahawa pelaburannya selama ini musnah akibat daripada serangan ulat.
“Kami sedang berdepan bencana,” katanya kepada Xinhua dalam satu wawancara baru-baru ini. Buruh-buruh yang diupah bersiap sedia untuk membersihkan jagung-jagung yang sudah rosak akibat daripada serangan perosak tersebut.
Ladang Koech yang terletak 159 kilometer dari barat daya Nairobi telah diserang oleh ulat ‘fall armywarm’ (FAW) beberapa bulan yang lalu dan usahanya untuk menyelamatkan sebahagian daripada ladangnya itu sia-sia. Dia kini menghadapi hari-hari sukar kerana sektor pertanian adalah merupakan satu-satunya sumber pendapatannya.
Ulat perosak itu telah membuatkan petani-petani seperti Koech mengalami kejutan dan masalah besar, dan meninggalkan jejak kemusnahan dan memberi kesan kepada jutaan keluarga di seluruh Kenya yang bergantung kepada jagung sebagai makanan asasi mereka.
“Semuanya bermula seperti satu jenaka, semasa salah satu lawatan saya di sekitar ladang, saya melihat beberapa tumbuhan telah diserang tetapi saya fikir ia adalah cacing biasa. Dalam masa dua minggu, saya tidak percaya bahawa kebanyakan tumbuhan-tumbuhan yang ada telah diserang. Saya cuba menggunakan racun perosak tetapi sudah terlambat, “kata Koech.

Dia hanya mendengar mengenai pencerobohan FAW di negara jiran Uganda tetapi tidak menyangka ulat seperti ini boleh menyerang di kawasannya.
Sebagai seorang petani kecil seperti Koech, dia cuba melihat untuk langkah seterusnya. Kenya adalah sebuah negara yang menyaksikan penurunan hasil jagung sebanyak 20 hingga 25 peratus pada tahun 2017. Ini telah merumitkan lagi keadaan ketika negara Afrika Timur itu masih mengalami cuaca buruk kemarau.
Menurut Pusat Pertanian dan Biosains Antarabangsa (CABI), ulat itu boleh menyebabkan kerugian jagung kepada 12 buah negara-negara Afrika yang dianggarkan bernilai sehingga AS$6.1 bilion setahun, kecuali kaedah pengawalan segera dilaksanakan.
FAW yang sebelum ini dilaporkan di Kenya Barat, kini merebak ke kawasan lain seperti Kwale County di Coast.
Dalam laporan ‘nota keterangan’ terkini mengenai FAW, CABI berkata ulat itu berpotensi menyebabkan kerugian penghasilan jagung antara 8.3 hingga 20.6 juta tan setahun, tanpa adanya sebarang kaedah kawalan, hanya di 12 negara-negara penghasil jagung di Afrika.
Menurut laporan itu, FAW dijangka akan tersebar di seluruh kawasan yang sesuai seperti di daratan tanah sub-Sahara Afrika dalam beberapa musim penanaman berikutnya. Afrika Utara dan Madagascar juga berisiko. Pada bulan September, 28 negara di Afrika mengesahkan kehadiran ulat perosak itu, berbanding hanya 12 pada lima bulan sebelumnya.


Sembilan lagi negara telah menjalankan atau sedang menjalankan tinjauan, dan sama ada mengesyaki kehadirannya atau sedang menunggu pengesahan rasmi. Menurut Roger Day, Penyelaras Kebersihan dan Fitosanitasi CABI (SPS), untuk mengelakkan krisis makanan yang meningkat, negara-negara yang terjejas perlu membuat pendekatan bersepadu untuk menangani krisis ini.
“Usaha-usaha pelaksanaan perlu dimulakan dengan menilai jenis tanaman yang mampu menentang atau mentoleransi FAW. Dalam jangka masa yang lebih panjang, dasar-dasar kebangsaan harus mempromosikan pilihan kawalan risiko yang lebih rendah melalui subsidi jangka pendek dan penilaian berterusan serta pendaftaran bioracun perosak dan kawalan terhadap produk-produk biologi,” kata Day.
Cadangan segera dalam laporan ini termasuklah meningkatkan kesedaran tentang gejala FAW, pengesanan awal dan kawalan, dan penciptaan dan pemberigaan senarai racun perosak yang disarankan dan dikawal.
“Sekiranya saya mendapat maklumat mengenai apa yang perlu diberi perhatian dan dilakukan apabila saya menemui permulaan ulat itu, saya percaya saya dapat menyelamatkan hampir seperempat daripada ladang ini daripada diserang,” kata Koech.
Pada bulan Julai lalu, Setiausaha Kabinet Pertanian Kenya, Willy Bett, melahirkan kebimbangan terhadap pencerobohan FAW yang mengatakan bahawa keselamatan makanan di negara itu dipertaruhkan memandangkan pengeluaran pada tahun 2017 dijangka menurun sebanyak sembilan juta beg.
Ulat berkenaan, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, adalah berasal dari Amerika tetapi tiada bukti yang didokumenkan untuk menunjukkan bagaimana ia merentasi lautan dan mendarat di Afrika. – Xinhua