BERLIN, 31 OKT – Sebuah mahkamah Berlin memulakan perbicaraan hari ini dalam satu kes yang dikemukakan oleh tiga petani ke atas kerajaan Canselor Angela Merkel atas kegagalannya untuk memenuhi sasaran perlindungan iklim, cabaran perundangan pertama seumpama itu di Jerman.
Memetik lembu ternakan yang terjejas akibat gelombang haba dan kerugian tanaman besar akibat keadaan cuaca ekstrem, daripada kemarau berpanjangan kepada hujan lebat, seorang penanam buah dan dua penternak haiwan disokong oleh kumpulan alam sekitar Greenpeace berusaha memaksa kerajaan mengambil tindakan.
“Kami menyaman untuk mendesak kerajaan mengekalkan matlamatnya dan melaksana tindakannya,” beritahu pihak plaintif bersama Franziska Blohm, di mana keluarganya mengurus sebuah ladang buah organik berhampiran Hamburg, kepada AFP sebelum perbicaraan.
Tujuan kempen tersebut bukan mendapatkan “wang pampasan atau seumpamanya,” tekan beliau.
“Kami rasa mata pencarian kami terjejas. Kami berasa takut jika kami tidak melakukan apa-apa, ladang buah tidak dapat bertahan. Kerajaan mesti menunjukkan jalan,” katanya.
Seorang lagi plaintif, penternak tenusu Heiner Luetke Schwienhorst menyuarakan perasaan optimistik ketika beliau tiba pada perbicaraan mahkamah.
“Saya amat positif dan saya fikir kami boleh menang,” beritahunya kepada AFP, sambil disokong oleh 30 aktivis Greenpeace yang mengadakan satu rapat di luar bangunan mahkamah.
Namun kerajaan Merkel mengaku pada tahun lalu bahawa ia akan terlepas sasaran iklim untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau di Jerman sebanyak 40 peratus pada 2020 berbanding dengan tahap 1990. – AFP
