KUALA KANGSAR – Ketika rakan seusianya memilih untuk makan gaji ataupun menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi, anak muda ini memutuskan untuk memegang cangkul membanting tulang mengusahakan tanaman betik dan pisang seluas 3.2 hektar.
Membesar sebagai anak petani dan tahu hasil berbudi kepada tanah tidak pernah mengecewakan, Muhammad Qayyum Zunkurnain, 24, nekad meneruskan legasi bapanya sebaik sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lalu.
Pilihan anak jati Kuala Kangsar ini nyata tepat apabila tanaman betik dan pisang yang diusahakan di atas tanah yang disewa itu mampu menjana hasil lumayan setanding dengan pekerjaan profesional.
“Ilmu pertanian ini saya peroleh daripada bapa sewaktu membantunya mengusahakan tanaman sayur-sayuran sebelum ini.
Selepas itu saya mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual betik dan pisang selepas tamat SPM.


“Bagaimanapun sewaktu berniaga, saya dapati bekalan tidak setanding dengan permintaan yang tinggi, mendorong saya mengambil keputusan mengusahakan sendiri ladang betik dan pisang bagi memenuhi keperluan pelanggan saya,” katanya kepada Bernama.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata dengan sedikit modal, dia mengambil keputusan membina laluan hidupnya sendiri dengan menanam 1,000 batang pokok betik dan pisang sebagai permulaan.
Kini tanaman betiknya bertambah kepada 3,000 pokok manakala pisang tanduk sebanyak 4,000 pokok dengan hasil mencecah RM13,000 sebulan.
Qayyum berkata dia memilih tanaman betik kerana buah itu mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan yang sudah berusia, kerana mempunyai khasiat tersendiri seperti melancarkan pencernaan selain merupakan tanaman selingan sementara menanti hasil tanaman pisang.
Beliau juga berkata penanaman betik juga tidak susah kerana di negara ini hanya ada dua musim, iaitu hujan dan panas.
Sekiranya musim hujan berterusan pokok betik akan menghasilkan putik dengan mudah.
“Betik cepat berbuah, iaitu sekitar enam ke tujuh bulan selepas ditanam. Selain itu, betik juga boleh mengeluarkan hasil untuk tempoh yang lama,” katanya.
Menurut beliau, hasil betik dari ladangnya masih tidak cukup untuk menampung permintaan tempatan, lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca panas yang mempengaruhi pengeluaran buah.
Setakat ini buah-buahan dari ladangnya dipasarkan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Selangor dan kesemuanya dijual mentah di pasar tani bagi memenuhi permintaan harian pengguna serta peniaga kecil buah-buahan.
Qayyum tidak menafikan segelintir masyarakat memandang hina pekerjaannya di peringkat awal, namun selepas melihat pulangan dan hasil yang memberangsangkan beberapa anak muda datang bekerja dan membantunya mengusahakan ladang itu demi mempelajari cara menanam betik dan pisang.
“Dalam mengusahakan pertanian ini saya juga banyak dibantu oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Senggang dan Manong, Jabatan Pertanian Negeri Perak serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya yang bercadang terlibat dalam pengeluaran produk hiliran daripada tanaman betik dan pisangnya itu pada masa depan. – Bernama

