HANOI, 18 Sept 2008 – Petani-petani Vietnam di wilayah selatan, Dong Nai telah menangkap 14 ekor buaya yang terlepas dari ladang buaya ketika banjir minggu lalu, menurut pegawai Komun hari ini.
Buaya-buaya keluar dari kurungan mereka di ladang yang tidak dinyatakan namanya di rantau itu ketika banjir berlaku pada 10 September lalu dan masuk ke sungai.
Sejak itu penduduk kampung di kawasan itu, Phuoc Tan, 70 kilometer dari bandar Ho Chi Minh, telah perlahan-lahan menangkap semula reptilia itu.
Polis dan renjer hutan melawat kawasan itu untuk menangkap buaya-buaya, tetapi tidak menemui sebarang kesan buaya.
“Petani-petani telah menjual atau membunuh kesemua buaya. Kami tidak dapat mencari mana-mana buaya yang terlepas di kawasan kami sekarang,” kata Huynh Xuan Quang, pengerusi Komun di Phuoc Tan.
Quang berkata buaya-buaya itu yang mempunyai berat kira-kira 30 hingga 40 kilogram setiap seekor dijual dengan harga 2 juta dong (120 dolar) seekor.
“Kebanyakan petani ini miskin dengan yang demikian 120 dolar adalah jumlah besar,” kata Ma Van Tai, Pegawai komun di Phuoc Tan.
“Saya tidak fikir mereka mahu melaporkan tentang buaya itu kepada pihak berkuasa setempat. Mereka tahu kami akan merampas buaya-buaya itu.”
Tai berkata penduduk kampung diberi amaran supaya berhati-hati dengan buaya yang terlepas tetapi prospek wang telah mengakibatkan mereka mengambil risiko untuk menangkap buaya-buaya itu.
“Saya dimaklumkan bahawa di Komun berhampiran, petani baru saja menangkap seekor lagi, tetapi mereka membunuhnya juga,” Kata Tai. Vietnam cenderung dilanda banjir teruk setiap tahun, yang mengakibatkan risiko buaya-buaya lepas lari.
Pada September 2007, ratusan buaya lepas lari di wilayah tengah Vietnam, Thanh Hoa selepas air banjir memasuki kandang mereka di ladang pembiakan. Selain itu, beberapa ekor buaya yang menyerang penduduk setempat ditembak mati oleh pihak berkuasa.