Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peter Cklamovski pengendali baharu Harimau Malaya

    KUALA LUMPUR, 16 DIS – Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia hari ini diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan Malaysia yang baharu dalam memastikan skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 dan memanjat naik ranking dunia ke kedudukan 100 terbaik.

    Cklamovski akan memulakan tugasan secara rasmi bermula 1 Jan 2025.

    Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan Cklamovski sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan pasukan negara dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.

    “Beliau (Cklamovski) hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.

    “Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” demikian menurut kenyataan FAM hari ini.

    Pengendali berusia 46 tahun itu pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 (Liga Jepun) pada musim 2019 ketika mereka mengemudi Yokohama F Marinos.

    Cklamovski mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020 sebelum beliau mengambil cabaran untuk menjadi pengurus kelab Liga J2, Montedio Yamagata pada 2021 dan berjaya menyelamatkan kelab itu daripada zon penyingkiran dan layak ke perlawanan playoff ke Liga J1.

    Beliau dilantik sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda