Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Peti telefon ikonik Britain diberi nafas baharu

    UNITED KINGDOM – Dalam sebuah bengkel yang penuh dengan barang-barang bersejarah, daripada pam petrol berkarat hingga papan tanda enamel vintaj, Carl Burge dengan mahir memberikan sentuhan akhir pada peti telefon Inggeris berwarna merah yang sedang dipulihkannya.

    “Ikonik,” kata Burge, 54, yang telah bekerja keras selama lebih dari 20 tahun untuk memulihkan kiosk telefon yang sudah usang dan lama.

    Peti telefon itu menjadi lambang khas yang menggambarkan United Kingdom (UK) di seluruh dunia, tiang merah yang kukuh pertama kali diperkenalkan pada tahun 1920an dan telah mengharungi pelbagai cabaran, daripada vandalisme hingga cuaca basah yang terkenal di negara itu selama beberapa dekad yang lalu.

    “Jika awda menghantar poskad tanpa sebarang tulisan kecuali gambar peti telefon dan menghantarkannya ke mana-mana tempat di dunia, kemungkinan 95 peratus orang akan mengatakan: itu pastinya England,” tambahnya.

    Bilangan peti telefon di Britain mencapai kemuncaknya pada tahun 1990an dengan kira-kira 100,000 unit, walaupun banyak daripadanya bukan reka bentuk merah yang terkenal.

    Burge bergambar di hadapan peti telefon merah tradisional di Remember When UK, sebuah syarikat khas dalam pemulihan memorabilia British di King’s Lynn, timur England. – AFP
    Burge memegang replika telefon di bengkelnya di timur England. – AFP
    Burge ketika memulihkan peti telefon di bengkelnya yang juga sebuah syarikat pakar dalam pemulihan memorabilia British di King’s Lynn, timur England. – AFP
    Telefon asal yang digunakan di dalam peti telefon merah tradisional sedang dipulihkan. – AFP
    Burge melihat kotak telefon di bengkelnya di King’s Lynn, timur England. – AFP
    Gambar AFP

    Sementara kurang digunakan pada masa kini dengan telefon bimbit digunakan secara meluas, terdapat kira-kira 20,000 telefon awam yang masih berfungsi di seluruh negara.

    Peti telefon merah yang tidak lagi digunakan dan peti telefon lain semakin diambil alih oleh komuniti tempatan dan diubah menjadi kemudahan seperti perpustakaan mini, gerai maklumat pelawat dan defibrilator.

    Ada di antaranya juga disewakan oleh perniagaan kecil, seperti kedai tiramisu yang dikenali sebagai ‘Walkmisu’ di pusat London.

    Daniele Benedettini telah membuka kedai dalam dua peti telefon merah di pinggir Russell Square, menjual pencuci mulut Itali terkenal dan kopi.

    “Saya berpendapat ia adalah idea yang sangat menarik, menggabungkan elemen tradisional Inggeris dengan elemen bercirikan Itali,” kata Benedettini kepada AFP.

    Tambahnya lagi, kos menjalankan perniagaan daripada peti telefon juga terbukti lebih rendah berbanding membuka kedai biasa.

    Lelaki berusia 29 tahun itu, yang menyewa peti telefon daripada pemilik swasta, berkata peti telefon itu adalah perniagaannya yang pertama sebelum dia membuka kafe berhampiran.

    Kotak telefon itu telah diubah suai di dalam dan dilengkapi dengan rak, peti sejuk dan mesin kopi, tetapi di luar, ia masih kekal sama, memandangkan ia telah bertahan selama beberapa dekad, kecuali beberapa poster di tingkap.

    Menurut Burge, pemulihan peti telefon mengambil purata masa selama enam minggu, bermula dengan proses yang ‘memerlukan ketelitian’ untuk menanggalkannya hingga tinggal struktur asas atau komponen terpenting sahaja sebelum langkah-langkah pembaikan dan pemulihan dilakukan.

    “Kita tidak pernah tahu apa yang akan kita jumpa di balik cat itu. Mungkin kita akan menemui sesuatu yang amat bernilai,” tambahnya.

    Burge telah melihat banyak peti telefon dibawa ke bengkelnya di bandar King’s Lynn, timur England, dan berkata bahawa ia sering kali rosak, kaca tingkapnya pecah atau pintu kayu sudah usang.

    Setelah rangka besi tuang peti tersebut ditanggalkan daripada semua komponen dalaman dan luaran, ia disembur dengan pasir untuk menghilangkan cat, karat dan sebarang kotoran lain.

    Langkah seterusnya adalah memasang penutup badan dan menggilap permukaan untuk menjadikannya lebih sekata dan menghilangkan sebarang ketidaksempurnaan yang mungkin wujud dalam proses yang dilakukan dengan tangan dan mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan.

    Akhirnya, peti telefon tersebut disembur dengan cat warna merah ‘Pejabat Pos Merah,’ kaca berlamina diletakkan dan pintu dipasang dengan bingkai luar kayu keras baharu.

    Burge, yang bekerja dalam perniagaan permotoran selama 20 tahun, mengubah minatnya dalam mengumpul barang-barang bersejarah Britain menjadi perniagaan sepenuh masa yang dipanggil Remember When UK.

    Dia pertama kali menemui peti telefon semasa memandu melewati hartanah yang akan dijual. Dia membelinya daripada pemilik, memulihkannya dan menyimpannya di halaman depan rumahnya.

    Burge kemudian menjual peti telefon itu tetapi berkata bahawa dia ‘merindukannya’ dan memutuskan untuk memulihkan satu peti telefon lagi.

    Satu peti berubah menjadi banyak dan sekarang Burge sedang berusaha untuk memulihkan beberapa peti telefon pada satu-satu masa.

    Di antaranya adalah contoh K2 yang terkenal, yang merupakan peti telefon merah pertama Britain yang diperkenalkan pada tahun 1926 dan direka oleh arkitek Britain Giles Gilbert Scott, yang juga terkenal dengan kerjanya di Stesen Kuasa Battersea London dan bangunan awam lain.

    Walaupun selepas dua dekad menceburi perniagaan itu, Burge berkata dia tidak pernah kehilangan semangat terhadap kerja yang dilakukannya.

    “Saya semakin tua sekarang. Semuanya nampak semakin berat. Tetapi tahap semangat saya masih setanding dengan apa yang saya miliki 22 tahun yang lalu,” katanya.

    “Kalau ada pun, ia mungkin lebih lagi,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...