Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petinju amatur Jepun dirawat di unit rawatan rapi

    TOKYO, 22 OGOS – Seorang petinju amatur Jepun menjalani pembedahan otak dua minggu lalu dan masih belum sedar, menurut pihak berkuasa hari ini, ketika sukan itu di negara berkenaan digemparkan dengan kematian dua petinju profesional.

    Persekutuan Tinju Jepun (JBF) memaklumkan bahawa lelaki berusia 39 tahun itu, yang tidak didedahkan identitinya, menjadi tidak sedarkan diri selepas sesi sparing tiga pusingan selama tiga minit setiap satu di Tokyo pada 8 Ogos.

    Dia segera dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan dan kini masih berada di unit rawatan rapi.

    JBF, yang mengawal selia tinju amatur di Jepun, berkata lelaki itu tidak bertarung dalam mana-mana perlawanan lebih 10 tahun dan sedang menjalani latihan untuk membuat kemunculan semula. “Kami mendoakan dia sembuh secepat mungkin,” kata Presiden JBF, Tatsuya Nakama.

    Tinju Jepun kini menjadi tumpuan selepas kematian petinju super featherweight, Shigetoshi Kotari dan petinju lightweight, Hiromasa Urakawa, kedua-duanya berusia 28 tahun, beberapa hari selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan berasingan di Tokyo pada 2 Ogos.

    Pegawai tinju Jepun telah mengadakan beberapa mesyuarat kecemasan dan berikrar untuk memperkenalkan peraturan keselamatan baharu.

    Langkah baharu yang akan dilaksanakan termasuk ujian air kencing untuk mengukur tahap dehidrasi dan peraturan lebih ketat mengenai penurunan berat badan secara cepat oleh petinju.

    Petinju Jepun, Yudai Shigeoka, mengumumkan persaraannya bulan ini bagi menyokong abangnya, yang koma sejak perlawanan pada Mei.

    Abang kepada bekas juara WBC strawweight, Shigeoka, Ginjiro, rebah selepas perlawanan di Osaka dan menjalani pembedahan otak kecemasan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda