Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petisyen hentikan hukuman mati

    SINGAPURA, 9 OKT – Keluarga-keluarga banduan yang menanti hukuman mati menggesa kerajaan Singapura hari ini untuk mengenakan moratorium terhadap hukuman mati bagi membolehkan semakan bebas terhadap penggunaan hukuman mati yang kontroversial di negara kota itu.

    Lima keluarga menyeru pertemuan dengan menteri undang-undang dan hal ehwal dalam negeri Singapura “untuk mendengar cerita kami, kesakitan kami, dan berdepan dengan kemanusiaan kami”, kata mereka dalam satu kenyataan pada malam Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia.

    Sekurang-kurangnya 16 orang yang disabitkan tuduhan mengedar dadah telah dihukum gantung sejak Singapura menyambung hukuman mati tahun lalu selepas berhenti selama dua tahun semasa pandemik COVID-19.

    “Kami meminta penangguhan segera hukuman mati dan kajian semula yang telus dan bebas terhadap penggunaan hukuman mati,” kata keluarga-keluarga berkenaan.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kumpulan hak asasi manusia dan penentang hukuman mati yang lain berkata ia tidak mempunyai kesan pencegahan yang terbukti dan menggesa ia dihentikan.

    Pegawai-pegawai Singapura menegaskan ia telah membantu menjadikan negara itu salah sebuah negara paling selamat di Asia.

    “Kami berdiri di sini bagi pihak lebih ramai keluarga… yang hidup mereka telah musnah akibat perang kejam dan tidak masuk akal Singapura terhadap dadah,” kata keluarga-keluarga berkenaan.

    Mereka juga telah mengemukakan petisyen yang sama kepada kerajaan. – AFP

    Sarah binti Jumaat (kiri), kakak kepada banduan hukuman mati Syed Suhail, berjalan bersama ahli keluarga lain ke Kementerian Dalam Negeri untuk mengemukakan petisyen di Singapura, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda