BANGKOK, 24 JULAI – Pejabat Ombudsman Thailand menghantar petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menangguhkan undian memilih perdana menteri baharu pada Khamis sehingga ia memutuskan kesahihan undi Parlimen yang menafikan pencalonan semula pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat.
Setiausaha Agung Om-budsman, Keirov Kritteranon berkata pejabat itu menerima 17 petisyen yang dikemukakan oleh ahli parlimen dan orang ramai terhadap resolusi parlimen pada Khamis lalu.
Beliau berkata, ketiga-tiga ombudsman sebulat suara bersetuju bahawa 17 petisyen itu memenuhi semua kriteria untuk diserahkan kepada Mahkamah Perlembagaan.
“Pejabat meminta mahkamah menangguhkan pengundian Khamis ini sehingga ia membuat keputusan mengenai petisyen itu,” katanya.
Pejabat Ombudsman ialah sebuah agensi kerajaan bebas yang menyiasat aduan rakyat terhadap agensi kerajaan.
Keirov berkata ahli parlimen yang mengundi untuk menyekat Pita daripada dicalonkan semula melanggar hak dan kebebasan pempetisyen.
“Mahkamah Perlembagaan mempunyai kuasa untuk mengawal Parlimen bagi memastikan ia tidak melanggar hak rakyat,” katanya. – Bernama
