Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petola, buah seribu makna

    PETOLA atau nama botaninya Luffa selalunya dimasak dan dijadikan hidangan sayur. Ia juga berkhasiat tinggi dan sesuai dimakan untuk penjagaan kesihatan tubuh.

    Ia adalah sejenis sayuran yang bertekstur seperti span dan dikatakan berasal dari India dan China. Petola selalunya dijadikan sayur tetapi ada antara jenisnya terutamanya jenis petola bulat ditanam untuk mendapatkan serabut yang boleh dijadikan nilai komersialnya.

    Petola yang telah tua mempunyai serabut yang boleh digunakan sebagai penapis dalam pelbagai jenis enjin, bahan insulasi terhadap bunyi, gegaran dan suhu, penggosok badan semasa mandi, penggosok perkakas dapur dan sebagainya.

    Terdapat beberapa jenis petola yang dijadikan sebagai sayuran. Antaranya petola bulat (luffa aegyptiava), petola segi (luffa acutangula) dan petola ular (trichosanthes).

    Petola bulat berbentuk sedikit silinder, licin, tiada urat timbul yang jelas dan bahagian hujungnya mempunyai bekas kaliks dan benang sari.

    Magnesium dalam petola dapat membantu untuk menyeimbangkan pemancar saraf dalam tubuh.
    Magnesium dalam petola dapat membantu untuk menyeimbangkan pemancar saraf dalam tubuh.

    Sementara, petola segi berbentuk botol, bersegi-segi dan memiliki 10 urat panjang.

    Manakala Petola ular sangat tirus, panjang, berbentuk silinder dan berwarna putih ketika muda dan merah tua apabila masak.

    Keistimewaan kandungan petola

    Setiap jenis petola amat berkhasiat. Ia mengandungi pelbagai jenis antioksidan, mineral, vitamin, zat dan lemak.

    Petola turut memiliki sumber vitamin A dan karbohidrat. Ia juga sumber terbaik vitamin C, vitamin B5, vitamin B6, magnesium, mangan, kalium, tembaga dan serat pemakanan.

    Malah, petola juga mampu untuk mengurangkan masalah kesihatan yang disebutkan seperti berikut

    Melawaskan pembuangan air besar

    Petola bulat yang matang dikatakan boleh direbus dan diminum bagi melawaskan pembuangan air besar.

    Manakala petola segi pula dikatakan boleh direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar dan untuk mengeluarkan cacing dalam perut dan usus.

    Menyejukkan badan

    Bagi anda yang sering mengalami rasa panas dalam badan bolehlah menggunakan petola bulat sebagai bahan ubatan.

    Petola bulat muda dikatakan boleh dimasak dan airnya diminum untuk menyejukkan badan.

    Melembutkan dan melicinkan kulit

    Wanita amat mementingkan penjagaan kulit. Dengan memakan petola, kulit dapat dicegah dari mengalami kerosakan. Ini kerana petola mengandungi vitamin C.

    Pengambilan vitamin C yang tinggi boleh mengurangkan kekeringan kulit, kedutan dan memperlahankan proses penuaan.

    Petola mengandungi kalium dan mampu untuk menyeimbangkan tahap cecair serta membantu mengendurkan otot.
    Petola mengandungi kalium dan mampu untuk menyeimbangkan tahap cecair serta membantu mengendurkan otot.
    Pengambilan vitamin C yang tinggi boleh mengurangkan kekeringan kulit, kedutan dan memperlahankan proses penuaan.
    Pengambilan vitamin C yang tinggi boleh mengurangkan kekeringan kulit, kedutan dan memperlahankan proses penuaan.

    Vitamin C perlu untuk penghasilan protein bagi membentuk tendon, kulit, pembuluh darah dan ligamen. Ia juga membantu dalam proses penyembuhan luka.

    Merawat anemia

    Petola mengandungi vitamin B6 yang perlu dalam menghasilkan haemoglobin dalam darah yang akan membantu membawa oksigen ke sel-sel dan menggerakkan zat besi.

    Mereka yang mengalami masalah anemia adalah dicadangkan untuk memakan petola kerana pengambilan vitamin B6 dalam jumlah yang cukup mampu untuk mengurangkan simptom-simptom anemia.

    Mencegah sakit otot

    Kurangnya kalium boleh membawa kepada kekejangan, kebas dan sakit pada otot.

    Petola juga mengandungi kalium dan mampu untuk menyeimbangkan tahap cecair serta membantu mengendurkan otot.

    Kurangkan migrain yang berulang

    Orang yang selalu mengalami migrain tidak mempunyai jumlah magnesium dalam tubuh yang mencukupi.

    Magnesium dapat membantu untuk menyeimbangkan pemancar saraf dalam tubuh. Ia juga mampu untuk merendahkan pengulangan sakit kepala akibat migrain.

    Baik untuk kardiovaskular

    Petola mengandungi vitamin B5 yang mampu untuk membantu dalam mengurangkan kolesterol jahat dan trigliserid yang akan mengurangkan peluang untuk mendapat penyakit kardiovaskular. Petola juga baik untuk kesihatan jantung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda