WASHINGTON, 20 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengeluarkan larangan kepada firma-firma dan rakyat AS daripada berurusan dengan mata wang kripto baharu yang dikeluarkan oleh Venezuela.
Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang melarang ‘semua urus niaga yang berkaitan dengan mata wang baharu, yang direka untuk membantu krisis besar mata wang tunai kerajaan.’
Negara Amerika Latin, yang terbukti mempunyai rizab minyak terbesar berkata pra-jualan bagi 38.4 juta unit ‘Petro’ daripada sejumlah 100 juta unit akan dijual antara 20 Februari hingga 19 Mac.
Trump berkata mata wang tersebut mewakili “percubaan untuk memintas sekatan AS.”
Caracas berminat untuk menyandarkan mata wang itu kepada rizab minyak negara dalam usaha untuk meyakinkan para pelabur untuk membuat pelaburan, namun pakar kewangan berkata mereka tidak pasti mengenainya.
Selain tambahan kepada langkah menentang mata wang maya, Jabatan Perbendaharaan AS telah menambahkan empat orang pegawai kerajaannya yang didakwa terlibat dalam aktiviti rasuah, salah tadbir atau melanggar sekatan ke dalam senarai hitam jabatan itu.
Venezuela sedang bergelut untuk menyusun semula hutang luar negaranya yang dianggarkan kira-kira AS$150 bilion.
“Daripada membetulkan haluan untuk mengelakkan bencana berterusan, rejim Maduro berusaha untuk memintas sekatan menerusi mata wang digital Petro,” ujar Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.
Mnuchin turut memberi amaran bahawa dia baru sahaja mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan yang lain dari Amerika Latin dan Eropah untuk menyelaras langkah-langkah ekonomi untuk menghentikan apa yang dilihat Washington sebagai langkah Caracas kepada autoritarianisme.
Perbalahan antara Washington dan Venezuela ke atas mata wang boleh memberi impak besar kepada langkah-langkah negara lain untuk mengadaptasi kriptografi untuk mengelak sekatan. – AFP