KUALA LUMPUR, 7 NOV – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mungkin mahu menjalin hubungan lebih rapat dengan gergasi minyak Arab Saudi, Saudi Aramco, yang akan membekalkan sebahagian besar minyak bagi pelaburan hilirannya, projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor.
Profesor Madya Pengurusan Sekolah Perniagaan Asia Dr Renato Lima de Oliveira berkata Petronas dan Saudi Aramco merupakan rakan kongsi penting dalam projek RAPID, dengan kedua-dua pihak mempunyai pelaburan besar dalam aktiviti hiliran itu, yang akan memproses minyak Arab Saudi.
RAPID ialah sebahagian daripada Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor. Menerusi usaha sama dalam projek RAPID, Saudi Aramco akan membekalkan 50 peratus keperluan minyak mentah. – Bernama