KUALA LUMPUR, 28 April – Petronas Gas Bhd (PGB) baru-baru ini telah memeterai dua perjanjian pembelian dan penjualan berasingan, dengan Polyplastics Asia Pacific Sdn Bhd (PAP), masing-masing bertempoh selama 22 tahun.
Perjanjian yang pertama adalah untuk pembekalan stim kepada PAP, ia merupakan perniagaan baharu yang telah diperolehi daripada syarikat milik Jepun, manakala yang kedua membabitkan sambungan bekalan elektrik sedia ada oleh PGB. Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kamal Bahrin Ahmad berkata lanjutan kontrak tersebut menjadi bukti keyakinan pelanggan kepada PGB dalam membekalkan kuasa daripada loji penjanaan bersama PGB (COGEN) di Gebeng pada kadar tarif yang berdaya saing. “Ianya juga menjadi harapan PGB untuk menjadi pembekal pilihan yang menyeluruh, seperti yang ditunjukkan oleh hubungan perniagaan jangka panjang dengan PAP serta pelanggan lain yang berpusat di Taman Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama