KUALA LUMPUR, 26 Okt – Petronas menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri gas asli cecair (LNG) mengambil langkah kukuh untuk menyokong gas asli selain peranannya dalam gabungan tenaga global, sebagai usaha bersama ke arah ekosistem pasaran mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata gas akan berperanan penting dalam gabungan tenaga dan perlu memenuhi permintaan pada masa depan.
“Gas merupakan penyelesaian yang akan terus kekal, dan dalam menjadikan gas tersedia untuk pelbagai geografi bukanlah semata-mata sebagai perniagaan yang baik tetapi merupakan tanggungjawab moral kita bagi memastikan persekitaran bersih untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Zulkiflee juga berkata bagi penerimagunaan LNG mula memberi kesan sepenuhnya, sokongan gas perlu menjadi tumpuan dalam semua kerjasama industri ini.
“Pengeluar dan pembeli perlu terlibat dalam perbincangan jujur mengenai penawaran serta permintaan bagi jangka terdekat dan panjang untuk memastikan kestabilan dan jaminan pasaran, selain menggalakkan pelaburan,” katanya.
Pelabur, pembuat dasar, pengawal selia, pembiaya dan pemboleh industri lain perlu memperolehi pemahaman menyeluruh dan holistik mengenai industri untuk membangunkan serta melaksanakan rangka kerja yang tepat sekali gus memudahkan pencepatan penerimagunaan LNG.
“Kami mendapati beberapa pasaran pesat membangun, pergantungan semata-mata kepada pasaran bebas dan kekurangan campur tangan kerajaan telah mengekang pengembangan pasaran gas.
“Dari sudut lain, kami melihat LNG mendapat momentum diperlukan dalam negara seperti Pakistan dan Bangladesh, dengan langkah kerajaan yang bersifat menyokong dapat memudahkan pelaburan,” katanya. – Bernama