KUALA LUMPUR, 9 OKT – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikatnya Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) bagi tempoh lima tahun dengan Korea Midland Power Co Ltd (KOMIPO).
Di bawah SPA itu, KOMIPO bersetuju untuk membeli anggaran 0.24 juta tan LNG setahun daripada PLL mengikut asas delivery ex-ship (DES) bagi tempoh lima tahun mulai 2020, kata Petronas dalam kenyataan di sini.
“Kami berbesar hati dapat membina hubungan dengan KOMIPO, syarikat penjana kuasa terbesar di Korea Selatan, dan meningkatkan pangkalan pelanggan kami di rantau itu,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Ahmad Adly Alias. – Bernama