GEOJE, KOREA SELATAN, 27 NOV – Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerajui perniagaan gas asli cecair (LNG) global dengan kemudahan FLNG Duanya yang bakal beroperasi, menjadikannya satu-satunya pemain dalam sektor tersebut yang memiliki dan mengoperasikan dua kemudahan LNG terapung.
PFLNG Satu beroperasi sejak 2017. Pencapaian ini menunjukkan kedudukan kukuh syarikat itu dalam industri LNG, merintis penyelesaian inovatif bagi memastikan bekalan LNG yang terjamin untuk menampung peningkatan permintaan terhadap tenaga lebih bersih.
“Pembangunan PFLNG Dua adalah langkah ke arah menyediakan sumber bekalan baharu tenaga bersih serta merealisasikan aspirasi bersama kami bagi masa depan yang rendah karbon,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada majlis penamaan kapal itu, di sini, hari ini.
PFLNG Dua adalah penyelesaian utama oleh Petronas untuk menjana wang daripada lapangan gas laut dalam terkawal dengan cara yang selamat, ekonomi dan mampan, katanya. Kemudahan LNG terapung itu adalah untuk mengekstrak gas daripada simpanan gas laut dalam dengan kedalaman sehingga 1,500 meter.
“Sebagai pemain tenaga bersepadu, Petronas melabur sepenuhnya untuk memanfaatkan potensi gas asli menerusi penyelesaian teknologi dan inovatif sejajar dengan Penyata Tujuan kami untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian progresif demi meningkatkan kehidupan bagi masa depan yang mampan,” katanya. – Bernama
