KUALA LUMPUR, 29 Mac – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus meningkatkan aktiviti pendidikan dan komunikasi bagi memperkasakan aspek integriti menerusi edisi terbaharu Program Sokongan Integriti Korporat (CIAP) untuk kalangan pengurusan kanannya.
Bertemakan ‘Liabiliti Korporat – Satu Perubahan Landskap Integriti Korporat,’ CIAP 2019 yang diadakan semalam, mengutarakan perubahan dalam landskap berkenaan selepas klausa liabiliti korporat dimasukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018.
Menurut kenyataan Petronas hari ini, klausa itu membabitkan liabiliti ke atas syarikat serta liabiliti peribadi yang tegas terhadap para pegawai serta barisan pengurusan kanan.
“Ia turut meliputi jangkauan lebih besar kerana membabitkan syarikat tempatan yang diperbadankan serta perkongsian atau kerjasama selain syarikat dan perkongsian diperbadankan asing dengan perniagaan di Malaysia,” kata kenyataan itu. – Bernama