Jerawat akan muncul apabila minyak atau sebum, bakteria dan sel kulit mati menyumbat liang roma pada kulit muka.
Awda yang memiliki kulit berminyak ini berpotensi tinggi mendapat jerawat, tapi dengan mengikis tabiat buruk sedia ada, jerawat dan kulit berminyak boleh di atasi.
Kaji semula apakah tabiat buruk yang selalu awda lakukan sama ada sedar atau tidak.
1. MEMBERSIHKAN MUKA TERLALU KERAP
Ramai yang mengamalkannya dengan harapan kulit akan sentiasa kering dan jerawat cepat mati.
Cara ini adalah salah kerana ia akan menjadikan kulit semakin berminyak atau berjerawat. Cuci muka dua kali sehari sudah mencukupi iaitu pagi dan sebelum tidur.


2. MENYENTAL KULIT DENGAN LULUR TERLALU KERAP
Menggunakan lulur yang terlalu kasar akan menyebabkan keadaan kulit semakin teruk oleh sebab keradangan kulit.
Sebaik-baiknya lulur digunakan satu hingga tiga kali seminggu, iaitu dengan menggunakan lulur yang halus teksturnya, diurut lembut ke muka dan kemudian bilas dengan air suam.
3. TIDAK MEMBERSIHKAN PELUH
Penat bekerja atau membuat aktiviti berat menjadikan badan termasuk muka berpeluh.
Perlu diingat, jangan biarkan peluh itu kering dan menyerap ke dalam kulit. Bersihkan muka dan terus mandi serta jangan dilambat-lambatkan.
4. PICIT JERAWAT
Ini merupakan biasa dilakukan ketika jerawat mula tumbuh di wajah, tangan merayap hendak memicit. Tabiat memicit jerawat dengan kuku akan memburukkan keadaan kulit dan meninggalkan kesan parut.
Sebaiknya guna krim jerawat, untuk mengeringkan jerawat.
5. SYAMPU RAMBUT TERKENA WAJAH
Bersyampu tidak salah, tetapi apabila syampu rambut terkena muka, ia boleh membuatkan kulit berminyak dan berjerawat.
Ini adalah kerana syampu mengandungi bahan pelembap atau minyak untuk melembutkan rambut. Jadi pastikan buih syampu tidak terkena bahagian dahi dan muka.
6. PRODUK RAMBUT HANYA UNTUK RAMBUT
Penyembur rambut, gel, mousse dan apa saja produk penjagaan rambut tidak semestinya digunakan untuk kawasan muka.
Ia adalah bagi mengelakkan pori-pori awda tersumbat oleh bahan yang terdapat dalam produk penjagaan rambut.
7. MAKAN MAKANAN BERMINYAK
Ia adalah salah satu penyumbang utama kulit berminyak dan berjerawat, sebaiknya amalkan diet yang sihat dan kurangkan makanan berminyak.
8. PENGGUNAAN KOSMETIK YANG MENGANDUNGI MINYAK
Produk yang mengandungi minyak akan menyebabkan kulit sukar sembuh dari jerawat dan semakin berminyak.
Apabila ingin membeli alat solek, pastikan awda membeli produk berlabel non-acnegenic atau non-comedogenic, hypo allergic atau bebas minyak untuk mengelakkan jerawat. – Agensi

